KPDNHEP keluarkan 12 notis kepada pengusaha dandanan, gunting rambut

Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Melaka mengeluarkan notis kepada salah seorang penyedia perkhidmatan gunting rambut.
Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Melaka mengeluarkan notis kepada salah seorang penyedia perkhidmatan gunting rambut.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengeluarkan 12 notis kepada penyedia perkhidmatan kedai gunting rambut, pendandan rambut dan salun kecantikan yang menaikkan kadar caj perkhidmatan.

Pengarah KPDNHEP Melaka, Norena Jaafar berkata, pihak terbabit gagal mengemukakan maklumat notis mengikut tempoh yang ditetapkan dengan melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (AKHAP 2011).

Menurutnya, KPDNHEP akan mengambil tegas terhadap peniaga yang mengambil kesempatan menaikkan harga atau mengenakan caj perkhidmatan dengan bayaran yang tidak munasabah.

"Sehingga semalam, KPDNHEP Melaka telah mengeluarkan sebanyak 12 notis di bawah seksyen 21, Akta Kawalan Harga & Antipencatutan 2011 melibatkan kedai dandanan dan gunting rambut.

"Kesemua peniaga diberikan tempoh masa lima hari waktu bekerja untuk memberikan maklum balas berhubung notis itu kepada pihak kami," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Norena berkata, pihaknya mengesan segelintir peniaga durian di negeri ini tidak mempamerkan tanda harga.

Menurutnya, pemantauan khas yang dilakukan telah mengeluarkan dua kompaun RM1,000 kepada dua peniaga durian masing-masing di Jasin kerana didapati tidak mempamerkan tanda harga sekali gus melakukan kesalahan mengikut Perintah 3 (1), Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

"Bila tiada tanda harga dipamerkan peniaga mungkin ada yang akan mengambil kesempatan mengubah harga jualan buah.

Artikel Berkaitan:

"Oleh itu tujuh pasukan penguat kuasa ditugaskan untuk melakukan pemantauan harian ke atas penjual buah-buahan khususnya penjual durian di seluruh negeri ini lebih-lebih lagi pada musim durian," katanya.