Latihan fasa 1 bakal penanda aras penting

Ab Ghani Hassan
Ab Ghani Hassan
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan menegaskan latihan fasa 1 bakal menjadi penanda aras penting buat pasukan sebelum pengendali liga tempatan itu melanjutkan proses kepada fasa 2.

Ini kerana tegas Ab Ghani, proses kepada fasa 2 iaitu latihan secara body contact akan menjadi lebih cerah jika kesemua pasukan patuh serta disiplin mengikuti setiap prosedur operasi standard (SOP) ketika menjalani sesi latihan dalam fasa 1 tanpa body contact.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan setiap pasukan harus mematuhi SOP yang telah ditetapkan iaitu penjarakan sosial di mana sekurang-kurangnya 3-5 meter untuk aktiviti dinamik seperti latihan bola sepak bermula 15 Jun lalu.

Mengulas lanjut, Ab Ghani berharap kesemua pasukan dapat memberikan kerjasama penuh dalam memastikan perubahan fasa sesi latihan ini dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

“Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL ke-21 hari ini membincang banyak perkara berkenaan dengan aktiviti atau agenda MFL dan sebagainya.

“Antara yang dibincangkan adalah latihan yang dibenarkan oleh pihak kerajaan bermula 15 Jun lalu dan apa yang ditekankan dalam mesyuarat hari ini supaya semua pasukan Liga Super dan Liga Premier agar mengikut SOP yang diberikan kepada semua pasukan tersebut.

“Fasa 1 amat penting kerana ia adalah ujian kepada kita untuk mengikuti SOP yang ditetapkan kepada pasukan dan kejayaan ini akan menentukan bahawa akan membolehkan kita lagi maju ke depan iaitu menuju ke fasa 2.

“Ikutlah seperti apa yang ditetapkan oleh SOP itu kerana ia penting terutamanya untuk kita mengurangkan atau tidak memberi ruang kepada virus Covid-19 dan paling penting untuk menunjukkan kepada pihak kerajaan bahawa latihan bola sepak yang dikendalikan oleh MFL tidak ada apa-apa masalah.

Artikel Berkaitan:

“Jika ini kita dapat buat dan pasukan boleh memberikan kerjasama dengan mengikuti setiap SOP, InsyaALLAH kita di peringkat MFL akan memasukkan permohonan latihan fasa 2.

“Fasa 2 ini bermaksud pasukan atau pemain boleh melakukan latihan seperti biasa sebelum ini demi ke arah Liga Malaysia yang dijangka berlangsung pada September depan,” katanya.

Negeri Sembilan menjadi pasukan pertama mendapat kebenaran menjalani latihan oleh MFL selepas Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberikan kebenaran kepada semua pasukan untuk berlatih di bawah SOP yang telah ditetapkan.

Empat kriteria utama yang perlu dipatuhi adalah semua pasukan perlu melakukan ujian calitan (swab test), melantik pegawai penyelaras, menamakan pusat latihan dan mendaftarkan melalui pautan miti.gov.my (MITI) selain venue juga perlu melakukan proses nyahkuman atau sanitasi.

Dalam perkembangan sama, Ab Ghani memberitahu MFL setakat hari ini telah menerima permohonan daripada tujuh pasukan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, Ab Ghani menjelaskan pihaknya hanya meluluskan lima pasukan sahaja untuk memulakan sesi latihan.

“Setakat hari ini kita telah menerima tujuh permohonan untuk kebenaran berlatih tetapi MFL hanya meluluskan lima sahaja pasukan iaitu wakil Liga Premier, Negeri Sembilan, Selangor 2, dan wakil Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor dan UiTM FC.

“MFL terpaksa menangguhkan permohonan dua pasukan kerana didapati masih ada dokumen yang belum lengkap semua pasukan untuk memulakan latihan.

“Saya tidak nampak sebarang masalah jika kesemua pasukan mengikuti SOP kerana pada hari ini keadaan statistik Covid-19 yang dikeluarkan oleh KKM di negara kita semakin berkurangan dan beberapa aktiviti telah dibenarkan di mana kita nampak perjalanan menuju ke kehidupan normal semakin positif,” ujarnya.