ABIM saran tempoh moratorium dilanjutkan

Muhammad Faisal Abdul Aziz
Muhammad Faisal Abdul Aziz
A
A
A

SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyarankan supaya tempoh moratorium enam bulan bayaran pinjaman bank dilanjutkan ke tempoh yang bersesuaian selari dengan indikator keberhasilan pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, tempoh moratorium yang diumumkan sebelum ini bakal berakhir pada September nanti.

Pihaknya khuatir sekiranya rakyat masih belum bersedia untuk menghadapi fasa selepas tempoh tersebut berakhir untuk membayar semula komitmen pinjaman terutama golongan pekerja yang telah dibuang pekerjaan dan hilang pendapatan susulan pandemik koronavirus (Covid-19).

"Moratorium ini telah memberi kelegaan kepada rakyat ketika menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) khususnya apabila aktiviti ekonomi tidak dapat bergerak," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Mengulas lanjut, Muhammad Faisal memberitahu, berdasarkan dokumen yang dinyatakan di dalam Penjana, Program Insentif Pengambilan Pekerja telah diperuntukkan berjumlah RM1.5 bilion bagi menggalakkan pengambilan pekerja oleh majikan dan memberi pekerjaan kepada golongan penganggur serta belia.

Selain itu katanya, terdapat juga beberapa inisiatif lain termasuklah program latihan dan penempatan, program peningkatan kemahiran (upskilling) di dalam industri dan lain-lain yang berkaitan untuk memastikan rakyat mendapat pendapatan.

Bagaimanapun, ABIM berpandangan program-program untuk memberi semula pekerjaan buat rakyat yang telah diberhentikan kerja ini harus mempunyai tempoh sasaran keberhasilan yang jelas dan tepat, dalam masa sama tempoh sasaran kejayaannya harus selari dengan inisiatif meringankan bebanan komitmen rakyat termasuk tempoh moratorium.

"Ini penting kerana ABIM merasakan waktu yang amat sesuai untuk ditamatkan tempoh moratorium adalah selepas ekonomi rakyat dapat diberdayakan sebaiknya berdasarkan petunjuk dari hasil perancangan pakej-pakej ekonomi yang dicadangkan kerajaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Berdasarkan statistik, menurutnya, kadar pengangguran di Malaysia adalah di paras 3.9 peratus atau sekitar 610,000 orang pada bulan Mac lalu.

Tambahnya, selain itu, unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia pada 14 Mei lalu menunjukkan kadar pengangguran dijangka terus meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 penganggur untuk keseluruhan 2020.

Dalam pada itu, kata Muhammad Faisal, ABIM juga mengesyorkan kerajaan melanjutkan insentif lain yang turut penting seperti subsidi upah kepada majikan oleh Perkeso hingga Disember tahun ini untuk memastikan majikan dapat meneruskan penggajian pekerja sedia ada dalam situasi ekonomi yang tidak menentu.

"Menerusi pelanjutan inisiatif sebegini, ia dapat membantu kerajaan mencapai garis hala tuju ekonomi semasa khususnya bagi memastikan isu pengangguran dapat dibendung dengan baik seterusnya merancakkan kembali aktiviti ekonomi secara sistematik apabila rakyat beroleh pendapatan," katanya.