Kluster Meninggal Di Rumah dikesan: Dr Noor Hisham

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
Datuk Dr Noor Hisham Abdullah
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan terdapat satu kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu Meninggal Di Rumah (MDR).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kluster tersebut berkaitan dengan kes kematian ke-120 (iaitu kes ke-8403) membabitkan seorang warga emas di Sabah.

"Kes pertama kluster ini (iaitu kes ke-8403) adalah seorang warga emas yang telah meninggal dunia di rumah pada 12 Jun 2020 akibat komplikasi sakit jantung dan telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth.

"Saringan Covid-19 telah dijalankan dan beliau didapati positif. Sebelum ini beliau telah mendapat rawatan untuk penyakit jantung di Hospital Queen Elizabeth 2," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, aktiviti saringan kontak rapat telah dijalankan dan didapati dua kakitangan wad tersebut didapati positif Covid-19.

"Sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 63 individu termasuk 21 anggota kesihatan, dua pesakit, 40 ahli keluarga dan rakan telah dikenalpasti serta disaring.

Artikel Berkaitan:

"Langkah pencegahan seperti proses nyah kuman dan nyah cemar telah dijalankan di semua tempat yang dikenalpasti terdedah termasuk di wad dan rumah arwah," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham turut menjelaskan Perkhidmatan Hospital Queen Elizabeth 2 tidak terjejas dan berterusan seperti biasa.

Katanya, punca jangkitan kluster ini masih di dalam siasatan.