Ahmad Zahid sumbang RM5.9 juta kepada adik untuk beli dua banglo

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir bagi perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini.
 - Foto Bernama
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hadir bagi perbicaraan kesnya di Mahkamah Tinggi hari ini.
 - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyumbangkan RM5.9 juta kepada Yayasan Al-Falah untuk pembelian dua buah banglo di Country Heights, Kajang menerusi cek Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Peguam dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Al-Falah, Faisalludin Mohamat Yusuff, 43, berkata, perkara itu dimaklumkan kepadanya oleh adik Ahmad Zahid iaitu Datuk Seri Mohamad Nasaee Ahmad Tarmizi yang merupakan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan AL-Falah.

Beliau berkata demikian ketika pemeriksaan balas peguam Haziq Dhiyauddin Razali yang mewakili Ahmad Zahid pada hari ke-22 perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berjumlah jutaan ringgit Presiden UMNO itu membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Ketika ditanya Haziq mengenai tujuan pembelian dua lot banglo tersebut, Faisalludin berkata: “Pembelian lot-lot banglo ini untuk tujuan keagamaan.”

Katanya, beliau dimaklumkan oleh Mohamad Nasaee bahawa pembelian dua banglo yang terbengkalai itu adalah untuk menampung keperluan aktiviti keagamaan di Country Heights memandangkan surau di kawasan berkenaan kecil.

“Setakat ini ada aktiviti keagamaan yang dijalankan di sebuah banglo lot 403. Banglo lot 356 masih belum diubah suai,” katanya.

Faisalludin turut mengesahkan Yayasan Al-Falah menerima satu cek Maybank bernilai RM5.9 juta yang dikeluarkan oleh Tetuan Lewis & Co, bertarikh 4 Jan 2017.

“Cek ini telah diberikan oleh Pengerusi Yayasan Al-Falah (Mohamad Nasaee) kepada saya untuk diserahkan kepada penjual iaitu Tan Sri Lee Kim Tiong @ Lee Kim Yew yang merupakan pengarah syarikat Bee Garden Holdings Sdn Bhd,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi, saksi itu menjelaskan bahawa Ahmad Zahid tidak mempunyai kepentingan dalam Yayasan Al-Falah.

“Yayasan Al-Falah adalah yayasan keluarga Hamidi manakala Yayasan Akalbudi khas untuk Datuk Zahid. Ia berbeza, Yayasan Al-Falah keluarga yang besar, Yayasan Akalbudi (untuk) Datuk Zahid seorang sahaja,” katanya.

Dalam kertas pertuduhan yang ke-26, Ahmad Zahid didakwa memberi arahan dalam pembelian dua buah rumah jenis banglo bernilai RM5.9 juta dengan menggunakan cek milik Tetuan Lewis & Co yang merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid berhadapan 47 pertuduhan dengan 12 membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim, Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama