Terengganu bina 20,000 unit rumah mampu milik menjelang 2022

Dr Alias (dua dari kiri) semasa Majlis Menandatangani MoU Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur di Wisma Darul Iman hari ini.
Dr Alias (dua dari kiri) semasa Majlis Menandatangani MoU Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur di Wisma Darul Iman hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu menyasarkan untuk membina 20,000 unit rumah mampu milik untuk rakyat negeri ini menjelang tahun 2022.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, sehingga kini, sebanyak 11,500 unit rumah mampu milik sedang dalam proses pembinaan.

Menurutnya, projek pembinaan itu bermula tahun 2018 dan dijangka dapat disiapkan secara berperingkat pada tahun 2021 dan 2022.

"Rumah mampu milik type A yang banyak dibina memandangkan ramai yang memerlukan khususnya golongan B40. Jadi untuk setiap projek rumah mampu milik, kita sediakan 200 unit rumah jenis ini dengan harga subsidi kerajaan.

"Kerajaan juga hanya kenakan bayaran RM1,000 untuk tanah, ia tidak mahal sebab kalau minta tanah kerajaan, ikut premium kosnya 10 peratus dari nilai tanah.

"Ia secara tidak langsung dapat mengurangkan kos, ini antara sumbangan kerajaan pada rakyat bagi membolehkan rakyat menikmati rumah yang selesa yang kita namakan 'Rumah Rahman' dengan keluasan tapak 800 kaki persegi, harga rumah pula hanya RM80,000," katanya.

Dr Alias Razak
Dr Alias Razak

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur di kawasan Dendong, Mukim Tembila, di Wisma Darul Iman hari ini.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Dr Alias berkata, sebanyak empat projek rumah mampu milik juga sedang dibina di Kuala Nerus, Hulu Terengganu, Besut dan Kemaman.

Selain itu, dua projek perumahan mampu milik akan dilaksanakan di Bukit Masing, Marang dan Bukit Tumbuh, Kuala Nerus.

Katanya, kediaman yang akan dibangunkan itu merangkumi projek daripada kerajaan dan swasta.