Bazar ria terbesar di Perak bakal dibuka

Ahmad Tarmizi (kanan) memberikan taklimat kepada Azwan (tiga dari kiri) mengenai lokasi tapak bazar ria yang mampu menempatkan sehingga 500 peniaga.
Ahmad Tarmizi (kanan) memberikan taklimat kepada Azwan (tiga dari kiri) mengenai lokasi tapak bazar ria yang mampu menempatkan sehingga 500 peniaga.
A
A
A

KAMPAR - Sebuah bazar ria terbesar menempatkan 500 peniaga di Perak bakal dibuka pada pertengahan Julai ini di Taman Kampar Barat di sini.

Penyelaras Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Perak, Azwan Ramli berkata, bazar ria tersebut merupakan projek perintis sebelum ia diperluaskan di seluruh Perak jika mendapat sambutan menggalakkan.

Menurutnya, kewujudan bazar ria tersebut sebagai usaha membantu golongan peniaga kecil yang terkesan akibat penularan koronavirus (Covid-19) dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

"Pihak KPKT mengalu-alukan usaha seperti ini tetapi yang paling penting ia perlu dilaksanakan mengikut peraturan yang ditetapkan kerajaan terutama dari aspek kesihatan dan kebersihan.

"Sebelum ini banyak bazar ria yang dilaksanakan di seluruh negara, namun ada yang tidak dapat bertahan. Kita berharap bazar ria yang akan dikelolakan oleh Pertubuhan Sosial dan Kebajikan Usahawan Kampar dengan kerjasama CFG Management Sdn Bhd akan berjaya menjadi perintis di Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Pejabat CFG Management, 42A-G, Pusat Perdagangan Jalan Kampar Barat 3, Taman Kampar Barat di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan CFG Management Sdn Bhd, Ahmad Tarmizi Mohd Ghazali berkata, pada asalnya tapak seluas 1.12 hektar itu dirancang untuk 1,000 peniaga, namun disebabkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) hanya 500 peniaga akan ditempatkan di kawasan itu dengan penjarakan ditetapkan.

Menurutnya, bazar ria tersebut dirancang untuk dibuka selepas Februari, namun ia tertangguh akibat pelaksanaan PKP dan dijangka pelancaran dibuat pada pertengahan Julai nanti.

Artikel Berkaitan:

Katanya, berkonsepkan seperti Gerbang Malam di Ipoh, bazar ria berkenaan akan dibuka secara berperingkat dengan permulaan membabitkan 150 gerai jualan.

Beliau berkata, sehingga kini terdapat 62 peniaga sudah mengesahkan penyertaan mereka ke dalam bazar ria tersebut dan pihaknya mengalu-alukan peniaga di seluruh Perak turut serta menjalankan perniagaan di situ.

"Syarat utamanya peniaga mesti mempunyai daftar Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan keutamaan diberikan kepada peniaga di negeri Perak. Setakat ini kebanyakan peniaga dari sekitar daerah Kampar tetapi ada juga peniaga dari Gopeng dan Kampung Gajah.

"Ini merupakan salah satu usaha kita menambah peluang perniagaan kepada peniaga sedia ada dan mereka yang ingin menceburi bidang perniagaan.

"Selain itu, bazar ria ini akan menjadi salah satu tarikan pelancong di negeri ini," katanya.

Menurutnya, peluang perniagaan di bazar ria itu dibuka kepada semua kaum dan komuniti dengan pelbagai jenis barangan kering yang sesuai untuk pengunjung.

Katanya, dari segi jumlah pengunjung, pihak pengurusan menjangkakan seramai 1,000 orang setiap hari dalam satu-satu masa dengan tempoh operasi bermula jam 6 petang hingga 12 tengah malam.