MEDAC laksana 91 program babit nilai manfaat RM13.82 bilion

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) telah melaksanakan 91 program membabitkan 5.3 juta usahawan dan bakal usahawan dalam tempoh 100 hari sejak kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir negara.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, sebanyak RM13.92 bilion diperuntukkan bagi membiayai keseluruhan program tersebut.

Menurutnya, program tersebut dilaksanakan secara bersama dengan pelbagai agensi di bawah kementeriannya seperti SME Bank, Bank Rakyat, Tekun Nasional, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan sebagainya.

"Antara program yang membabitkan peruntukan paling banyak adalah moratorium penangguhan bayaran balik membabitkan agensi pelaksana iaitu SME Bank, Bank Rakyat, Tekun Nasional dan beberapa agensi lain dengan nilai bayaran RM7.8 bilion dan lebih 1.5 juta penerima yang mendapat manfaat.

"Selain itu program Covid Business Recovery-Micro (CBRM) di bawah pelaksanaan Tekun Nasional dengan 20,385 penerima manfaat membabitkan nilai bayaran RM157.62 juta," katanya pada sidang media sempena Sesi Amanat dan Serahan 100 Pencapaian MEDAC di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di kementeriannya di sini hari ini.

Katanya, kebanyakan program yang dilaksanakan memberi fokus kepada pemulihan dan bantuan kepada usahawan yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19) yang melanda dunia termasuk Malaysia.

Dalam pada itu, Dr Wan Junaidi turut mengingatkan semua kakitangan di kementeriannya untuk mengenepikan agenda politik tertentu sebaliknya perlu bekerjasama untuk memajukan MEDAC ke tahap yang lebih tinggi.

"Tidak kira pegawai itu dilantik di bawah era atau zaman siapa (kerajaan sebelum ini atau sekarang) tetapi dia perlu mempunyai agenda yang sama iaitu untuk memajukan kementerian.

Artikel Berkaitan:

"Kalau dia tidak boleh memberikan kerjasama dan berganding bahu untuk memajukan kementerian lebih baik dia menarik diri (letak jawatan)," katanya.