Pahang sudah siap sedia mulakan sesi persekolahan

Syed Ibrahim Syed Ahmad, Jasni Md Kechik
Syed Ibrahim Syed Ahmad, Jasni Md Kechik
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sudah bersiap sedia untuk memulakan sesi persekolahan pada 24 Jun ini selepas lebih tiga bulan ditutup berikutan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak koronovirus (Covid-19).

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, bagaimanapun semua guru, petugas termasuk pelajar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebelum memulakan sesi persekolahan.

"Kita sambut baik usaha dan saranan yang diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan perlaksanaan SOP dipatuhi sebaiknya dari segi pembelajaran di dalam kelas, susun atur di asrama, interaksi di antara guru dan murid termasuklah mengambil kira waktu rehat mereka.

"Saya difahamkan kebanyakan sekolah di Pahang telah memulakan tugas masing-masing bagi menyusun atur peralatan pembelajaran supaya memenuhi kehendak SOP yang telah diseragamkan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, sebanyak 18 sekolah agama di bawah pentadbiran kerajaan Pahang dan empat sekolah agama rakyat di bawah pentadbiran Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) akan memulakan operasinya pada 24 Jun ini.

Jelasnya, kesemua sekolah ini akan turut sama mematuhi SOP yang dibentangkan oleh KPM baru-baru ini.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, bagi sekolah menengah agama di bawah pentadbiran kerajaan Pahang akan melibatkan pelajar Tingkatan Empat bagi sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.

"Ini kerana pelajar terbabit perlu menduduki peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) dan pihak kerajaan Pahang juga telah mengenalpasti setiap keupayaan sekolah tersebut bagi memenuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KPM," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB), Jasni Md Kechik yakin pihak sekolah telah membuat persiapan rapi bagi menyambut kehadiran pelajar dalam keadaan selamat sebaik sahaja sekolah dibuka.

Beliau berharap semua warga sekolah, guru, pelajar, pengusaha kantin dan asrama serta pekerja pembersihan kawasan sekolah perlu sentiasa mengambil berat terhadap keselamatan, kebersihan dan kesihatan semasa berada di dalam kawasan sekolah.

"Mereka hendaklah sentiasa mematuhi langkah-langkah pencegahan jangkitan Covid-19 yang dipamerkan oleh pihak sekolah di tempat- tempat strategik di sekolah.

"Semasa sesi persekolahan berlangsung pentadbir sekolah dan guru-guru hendaklah dari masa ke masa berbincang untuk mengambil tindakan pembetulan dan tindakan pencegahan terhadap isu yang boleh menjejaskan keselamatan dan kesihatan warga sekolah," katanya.