Tunggu keputusan pendakwa raya terhadap kes MP Klang

Nurulhuda
Nurulhuda
A
A
A

KLANG - Polis menunggu keputusan pihak pendakwa raya berhubung siasatan terhadap Ahli Parlimen Klang, Charles Anthony Santiago susulan dakwaan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semasa mengagihkan bantuan di sebuah dewan di Jalan Sungai Keramat 9, Taman Klang Utama, di sini, April lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, kertas siasatan berhubung kes berkenaan telah diserahkan kepada pendakwa raya pada 6 Mei lalu.

"Kita masih tunggu keputusan untuk tindakan lanjut," katanya ketika ditanya pemberita dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN] - Ahli Parlimen Klang direkod keterangan

Pada 28 April lalu, polis mengesahkan telah merekod keterangan enam individu termasuk Charles Santiago di IPD Klang Utara.

Kes itu dibuka di bawah Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Siasatan itu berkaitan dakwaan kira-kira 200 hingga 300 orang berkumpul di lokasi terbabit yang turut dihadiri ahli parlimen tersebut bersama beberapa pembantunya bagi mengagih bantuan berupa barang keperluan kepada penduduk.

Hasil siasatan mendapati pihak penganjur ada mengemukakan surat kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menjalankan aktiviti pada 27 April tetapi aktiviti tersebut telah dijalankan pada 26 April.

Selain itu, polis juga mendapati tiada anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) ataupun Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang berada di situ untuk mengawal aktiviti tersebut selain didapati tiada penjarakan sosial dan kaedah pemberian sumbangan juga tidak disusun dengan teliti.

Artikel Berkaitan: