Lewandowski mahu Bayern beraksi lebih baik dalam UCL

Lewandwoski (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan-rakan sepasukan -Foto Getty images
Lewandwoski (kiri) meraikan kejayaan bersama rakan-rakan sepasukan -Foto Getty images
A
A
A

BINTANG Bayern Munich, Robert Lewandowski mahu memastikan pasukannya itu beraksi lebih baik dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL), kelak.

Lewandowski berkata, dia yakin pasukannya itu mampu berbuat demikian setelah berjaya mengekalkan trofi Bundesliga buat kali ke lapan berturut-turut dengan menewaskan Werder Bremen 1-0, di Weserstadion, Bremen Selasa lalu, hasil jaringannya pada babak pertama perlawanan.

Justeru, Lewandowski berharap pasukannya itu mampu mempamerkan aksi lebih cemerlang pada peringkat yang lebih tinggi seperti dalam saingan UCL."Kami adalah juara Jerman.

"Sudah tentu ia sesuatu yang rumit tanpa (kejayaan) diraikan penyokong, jadi 'semangat'nya hilang.

"Bagaimanapun, kami tetap berpuas hati. Lagi pun ia bukannya satu musim yang mudah, kami berjuang untuk trofi ini bagi tempoh yang agak lama dan berharap kami dapat meraikannya bersama penyokong di stadium tidak lama lagi," katanya.

Untuk rekod, Bayern muncul juara dengan mengumpul 76 mata daripada 32 perlawanan setakat ini menerusi 24 kemenangan, seri empat kali dan tewas empat kali.

Bayern masih memiliki dua baki perlawanan untuk diharungi iaitu berdepan Freiburg Sabtu ini sebelum menamatkan saingan Bundesliga musim ini berdepan Wolfsburg seminggu kemudian.

Selain itu, Bayern turut dilihat berada pada landasan betul untuk mara ke suku akhir Liga Juara-Juara hasil kemenangan 3-0 ke atas Chelsea di Stamford Bridge 26 Februari lalu pada aksi pertama pusingan 16 pasukan terbaik.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu Lewandowski, yang telah meledak 46 gol musim ini berharap Bayern mampu mencapai ke satu tahap tertinggi dalam saingan melibatkan pasukan-pasukan handalan di Eropah.

"Werder beraksi sedikit bertahan pada separuh masa pertama, tetapi pada separuh masa kedua kita seharusnya menjaringkan satu gol lagi dan keadaan pasti akan lebih mudah selepas itu.

"Apa pun kita telah tunjukkan kita adalah pasukan terbaik di Jerman dan kita akan beraksi lebih baik dalam saingan Liga Juara-Juara," katanya.