58 saman dikeluarkan dalam Ops Samseng Jalanan

Omar Bakhtiar Yaacob
A
A

PARIT BUNTAR – Polis mengeluarkan 58 saman atas pelbagai kesalahan yang dilakukan penunggang motosikal dalam Ops Samseng Jalanan di Jalan Pantai berhampiran Ban Pecah, Tanjung Piandang semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata 21 saman itu, dikeluarkan atas kesalahan tiada lesen, manakala 17 saman membabitkan nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi.

Katanya, dalam operasi itu 70 motosikal diperiksa dengan 44 daripadanya disaman termasuk dua telah disita.

Omar Bakhtiar berkata pihaknya mendapati lebih 100 motosikal yang berada di lokasi berjaya meloloskan diri melalui beberapa jalan kampung.

“Kawasan itu dipercayai menjadi lokasi lumba haram dan usaha membendungnya sering dijalankan,” katanya di sini hari ini.

Operasi bermula pada pukul 5 petang hingga 9 malam itu melibatkan 22 anggota termasuk dua pegawai.- Bernama