Geng Pejal Koya aktif pecah rumah, kedai tumpas

Nurulhuda menunjukkan barang rampasan susulan tertangkapnya Geng Pejal Koya di sekitar daerah Klang dan Gombak, baru-baru ini.
Nurulhuda menunjukkan barang rampasan susulan tertangkapnya Geng Pejal Koya di sekitar daerah Klang dan Gombak, baru-baru ini.
A
A
A

KLANG - Kegiatan 'Geng Pejal Koya' yang aktif melakukan jenayah pecah rumah dan premis kedai tumpas susulan penahanan 21 ahlinya termasuk dalang dalam serbuan berasingan di sekitar daerah ini serta Gombak, Selangor sejak 2 Jun hingga semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, suspek membabitkan 16 lelaki serta lima wanita berusia lingkungan 20 hingga 40-an dan tangkapan itu dilakukan sepasukan anggota D4 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara.

"Semakan mendapati suspek terdiri daripada 14 warga asing membabitkan 10 Indonesia, tiga warga Bangladesh serta seorang Nepal.

"Hasil tangkapan ini, kita telah merampas pelbagai barang disyaki hasil jenayah geng terbabit dianggar bernilai RM40,000 antaranya 23 telefon bimbit, kad tambah nilai (28), televisyen (2), komputer riba (3), t-shirt (200), jam tangan jenama Kalbor (1,200) dan 1,005 helai seluar jeans," katanya pada sidang media di IPD Klang Utara di sini, hari ini.

Antara barang yang dirampas daripada suspek.
Antara barang yang dirampas daripada suspek.

Nurulhuda berkata, polis percaya dalang geng tersebut ialah suspek lelaki warga Indonesia berusia lingkungan 30-an.

Menurutnya, soal siasat pihaknya mendapati geng tersebut disyaki mula bergiat aktif ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana premis ditutup serta tidak beroperasi.

Tambahnya, suspek kemudian menjual hasil jenayah itu kepada individu tertentu.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan laporan yang kita terima daripada pemilik premis, ada antara pengadu ini mengalami kerugian mencecah RM60,000 selepas premis mereka dipecah masuk," katanya.

Semua suspek direman serta disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Akta Imigresen 1959/63.