X

Kindly register in order to view this article
!

Enggan jadi alat politik PN punca CEO GLC letak jawatan, kata Anwar

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan peletakan jawatan ramai teknokrat berwibawa dalam beberapa syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sejak kebelakangan ini membuktikan mereka enggan menjadi alat politik kepada kerajaan Perikatan Nasional.

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beberapa pemimpin seperti bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan bekas Presiden Permodalan Nasional Berhad (PNB), Abdul Jalil Abdul Rasheed tidak pernah menjadi tokoh pemimpin kepada mana-mana parti termasuk Pakatan Harapan (PH), tetapi terpaksa berundur kerana tekanan politik.

Menurutnya, keputusan itu tidak pernah berlaku dalam sejarah GLC negara sebelum ini dan dibimbangi bukan sahaja memberi kesan negatif terhadap institusi bumiputera, bahkan persepsi pelabur terhadap ekonomi negara.

"Peletakan jawatan Tan Sri Wan Zul dan Jalil, dua individu sangat berwibawa tetapi seolah-olah ditekan, pastinya akan melemahkan dan memberi mesej bahawa teknokrat yang dilantik jawatan GLC perlu berkompromi dengan pemimpin politik untuk kekal jawatan.

"Tindakan itu juga menunjukkan tekanan untuk mereka berundur hanya bertujuan bagi meletakkan, memperkayakan dan memberi jaminan lebih baik kepada ahli-ahli Parlimen kerajaan PN (untuk mendapatkan jawatan GLC).

"Saya tidak tolak kalau mereka berkelayakan dan ada kredibiliti (menjawat jawatan GLC), tetapi jangan dalam keadaan (rakyat) kesempitan ini, tokoh politik agih habuan untuk tambah kekayaan mereka," katanya dalam sesi Facebook Live di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan peletakan jawatan beberapa CEO GLC utama di negara ini yang dikaitkan dengan spekulasi politik semasa membabitkan kerajaan Perikatan Nasional.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan rancangan pemindaan Akta Pembangunan Petroleum yang dikaitkan dengan spekulasi terkini politik negeri Sabah dan Sarawak dikatakan menjadi punca peletakan jawatan Wan Zulkiflee.

ARTIKEL BERKAITAN: Pinda Akta Pembangunan Petroleum, punca CEO letak jawatan?

Akhbar tempatan, The Edge melaporkan, beberapa sumber dipetik berkata, Wan Zulkiflee, 60, didakwa tidak bersetuju dengan rancangan pindaan akta itu di bawah pengawasannya.

Kelmarin, Lembaga Pengarah PNB telah menerima peletakan jawatan Abdul Jalil sebagai Presiden dan Ketua Eksekutif kumpulan itu.

Dalam perkembangan lain, Anwar menggesa Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengkaji semula kadar tarif elektrik yang dikenakan kepada pengguna sepanjang tempoh pandemik koronavirus (Covid-19) bagi mengelakkan rakyat terbeban dengan caj bil elektrik tinggi.

Menurutnya, TNB turut digesa melanjutkan tempoh pembayaran bil elektrik dan tidak terus melakukan pemotongan bekalan elektrik mengikut jadual ditetapkan syarikat itu sekiranya rakyat tidak berkemampuan membayarnya.

"TNB perlu cuba bandingan keadaan ekonomi sekarang disebabkan pandemik Covid-19 dengan kadar pengangguran di negara ini di mana pada bulan April sahaja sudah mencecah lima peratus atau 778,000 orang menganggur.

"Ambank Research menjangkakan keadaan pengangguran akan naik sehingga enam peratus sehingga penghujung tahun ini, sekali gus membuktikan krisis ekonomi adalah lebih parah daripada krisis ekonomi tahun 1997 dan 2008," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!