X

Kindly register in order to view this article
!

Kerjasama BN-Pas tak jejas undi Cina

Lian Ker pada sidang media di Bilik Gerakan MCA, Brinchang, hari ini. Foto:SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A

CAMERON HIGHLANDS - Kerjasama BN-Pas dalam PRK Cameron Highlands tidak akan menjejaskan sokongan pengundi Cina kepada calon BN.

Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, ini kerana kerjasama dua parti itu tidak menjadi fokus pengundi Cina.

Sebaliknya, kata beliau, pengundi Cina lebih memfokuskan kepada isu nasional dan tempatan.

"Mana-mana kita pergi, tak timbul fokus itu (kerjasama dengan Pas). Saya rasa fokus kepada isu nasional, pentadbiran kerajaan PH dan janji manifesto yang tak ditunaikan.

"Selain itu, isu tempatan juga menjadi fokus utama. Antaranya ialah masalah kesesakan jalan raya dan lesen pendudukan sementara (TOL)," katanya pada sidang media di Bilik Gerakan MCA, Brinchang, hari ini.

Turut hadir, calon BN, Ramli Mohd Nor.

Semalam, pimpinan Pas termasuk Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hadir sepentas dengan pemimpin Umno di Ceramah Pentas Perdana, Felda Sungai Koyan.

Pas yang tidak bertanding dalam PRK Cameron Highlands turut menggerakkan jenteranya untuk membantu kempen calon BN.

Menurut Lian Ker, pihaknya tidak menghalang sesiapa untuk membantu kempen BN.

"Ini adalah demokrasi, semua pihak boleh kempen tak kira parti atau individu," katanya.

Katanya, MCA juga yakin undi penyokong PH akan beralih kepada mereka.

"Komuniti Cina yang kami temui ada yang cakap mereka marah kepada BN sebab masalah lama yang tak diselesaikan. Tapi mereka lagi marah sebab pilih kerajaan baru.

"Mereka kata kerajaan baru lagi teruk. Jadi kita rasa ada harapan untuk dapat undi mereka dalam PRK ini," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!