PRU15 jalan terbaik demi kestabilan politik

Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin
A
A
A

SHAH ALAM - Pihak kerajaan perlu melaksanakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam tempoh terdekat bagi menjamin kestabilan politik dan mendapat keyakinan rakyat.

Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, beliau yakin dan percaya rakyat juga mengharapkan PRU15 disegerakan lebih-lebih lagi apabila menyaksikan segelintir ahli politik 'tawar-menawar' dan 'jual beli' ahli Parlimen serta Dewan Undangan Negeri (DUN).

Beliau yang turut menyifatkan tindakan ahli politik berjual beli sebagai memualkan turut berharap pandangan tersebut diberi perhatian oleh kerajaan supaya rakyat tidak terus diperkotak-katikkan.

"Selepas PRU15 nanti, saya berharap agar tiada lagi perangai-perangai ahli politik yang tidak disenangi rakyat dan janganlah hanya retorik 'kekal berprinsip' semata-mata mengejar kuasa yang hilang hanya untuk menyelamatkan diri sendiri.

"Rakyat juga seharusnya menilai dan memilih calon dan parti yang dapat membawa mandat rakyat keseluruhan supaya kebajikan rakyat terbela, ekonomi negara diperkukuh, kestabilan politik dapat dicapai dan kemakmuran negara terus dikecapi selamanya," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam itu, menurutnya, tidak dinafikan sukar untuk melaksanakan pilihan raya umum di saat koronavirus (Covid-19).

"Pastinya sukar untuk melaksanakan PRU15 di saat pasca Covid-19 memandangkan banyak perkara perlu dititikberatkan tetapi apabila melihat sikap segelintir ahli politik yang berterusan 'tawar-menawar' ahli Parlimen dan DUN sehingga kedudukan kerusi Parlimen tidak kukuh, saya yakin rakyat mengharapkan PRU15 disegerakan," katanya.

Muhamad Muqharabbin yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lembah Pantai turut menyarankan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) segera menetapkan prosedur operasi standard (SOP) dan menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini sebagai medan operasi serta panduan PRU15 kelak.

Artikel Berkaitan: