Setiap sekolah wajib patuhi SOP: KPM

Hang Soon (dua dari kanan) melihat SOP di luar tandas pelajar ketika membuat lawatan kerja SOP buka sekolah normal baharu di Sekolah Menengah Muzaffar Syah (MOZAC), Ayer Keroh di sini hari ini.
Hang Soon (dua dari kanan) melihat SOP di luar tandas pelajar ketika membuat lawatan kerja SOP buka sekolah normal baharu di Sekolah Menengah Muzaffar Syah (MOZAC), Ayer Keroh di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewajibkan setiap sekolah termasuk sekolah berasrama penuh mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Timbalan Menteri Pendidikan 1, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihak pengurusan dan pentadbiran sekolah perlu mengutamakan SOP yang ditetapkan tanpa mengabaikan peraturan-peraturan pendidikan.

Menurutnya, pihaknya akan mengambil tindakan tegas terhadap sekolah yang mengambil ringan mengenai SOP ataupun tidak mematuhi peraturan-peraturan yang telah digariskan seperti penggunaan cecair pembasmi kuman dan jarakan sosial.

"Kita memang ada SOP untuk asrama sekolah seperti mana yang telah dibentangkan dan kita juga mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah untuk memastikan pihak sekolah mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh KPM.

"Setakat ini saya telah turun padang untuk melihat kesiapsiagaan sekolah di seluruh Malaysia dan kebanyakan sekolah telah bersedia untuk dibuka semula," katanya.

Asrama MOZAC yang turut mematuhi SOP KKM dengan menjarakkan katil pelajar di antara satu sama lain.
Asrama MOZAC yang turut mematuhi SOP KKM dengan menjarakkan katil pelajar di antara satu sama lain.

Hang Soon berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja SOP buka sekolah normal baharu di Sekolah Menengah Muzaffar Syah (MOZAC), Ayer Keroh di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Pendidikan Negeri Dr Mohd Azam Ahmad dan Pengetua MOZAC, Md Baharudin Mahani.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, beliau berkata, kadar pematuhan SOP sekolah yang dilawati berada pada tahap 85 hingga 90 peratus.

Dalam pada itu, sebanyak 114 sekolah menengah termasuk 37 sekolah berasrama di Melaka akan terlibat bagi sesi persekolahan kelas peperiksaan awam yang akan dibuka pada 24 Jun ini.