Lanun rimba kantoi curi balak

Pegawai PHD Jerantut, Mohd Zarin (baju hijau) melihat sebahagian 300 tual balak curi yang diletakkan bersama balak lesen di kawasan matau. - Foto Ihsan PHD Jerantut
Pegawai PHD Jerantut, Mohd Zarin (baju hijau) melihat sebahagian 300 tual balak curi yang diletakkan bersama balak lesen di kawasan matau. - Foto Ihsan PHD Jerantut
A
A
A

KUANTAN - Tindakan licik lanun rimba yang meletakkan lebih 300 tual balak curi bernilai lebih RM300,000 bersama balak berlesen di kawasan matau Hutan Simpan Berkelah, Jerantut tidak berhasil apabila helah itu dikesan anggota unit Penguatkuasa Pejabat Hutan Daerah (PHD) Jerantut.

Pegawai PHD Jerantut, Mohd Zarin Ramlan berkata, helah itu yang dilakukan sindiket tersebut begitu terancang namun terbongkar setelah pemeriksaan dijalankan oleh pihaknya di lokasi simpanan kayu berkenaan.

Menurutnya, siasatan mendapati pelesen kawasan perjanjian itu adalah milik Yayasan Pahang.

"Kita telah mengesan kesalahan yang dilakukan membabitkan aktiviti menebang balak di luar kawasan lesen dan menebang pokok tanpa tag atau tanda kebenaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP).

"Selain itu, kita juga mendapati pihak terbabit melakukan kerja tebangan pokok ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lalu berdasarkan kesan tebangan serta laluan jentera yang masih baharu digunakan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menemui sebanyak 142 tunggul pokok pelbagai spesis seperti merbau, kulim dan meranti dalam kawasan hutan tersebut selepas bancian secara menyeluruh.

"Pemeriksaan mendapati semua pekerja pembalakan sudah meninggalkan rumah kongsi, tempat tinggal mereka dan beberapa jentera yang digunakan turut dibawa keluar selepas kegiatan mereka dikesan.

"Jadi, kita terpaksa menahan semua balak di matau utama yang menempatkan kayu berlesen bagi tujuan siasatan dan mengesan balak curi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Mohd Zarin berkata, sindiket berkenaan turut menutup beberapa jalan utama dalam hutan dengan cara menumbangkan pokok bagi mengelak kegiatan salah mereka dikesan anggota Unit Penguat kuasa PHD Jerantut.

Beliau percaya sindiket itu bergerak secara berkumpulan dan berpengalaman luas kerana hanya menumpukan spesis balak berkualiti tinggi dan berharga mahal untuk ditebang.

Menurutnya, pihaknya sedang menyiasat dan memastikan dalang di sebalik kegiatan tersebut dibawa ke muka pengadilan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.

"Kali ini, kita tidak akan bertolak ansur dengan pihak terbabit. Kegiatan mereka bukan sahaja menyebabkan kemusnahan hutan tetapi merugikan kerajaan negeri," katanya.