[DIKEMASKINI] Peniaga durian dikompaun guna alat timbang tamat tempoh

Aminuddin (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada peniaga durian (kiri) yang dikenakan tindakan atas kesalahan menggunakan alat timbang yang tidak sah dan tamat tempoh.
Aminuddin (dua dari kanan) bertanya sesuatu kepada peniaga durian (kiri) yang dikenakan tindakan atas kesalahan menggunakan alat timbang yang tidak sah dan tamat tempoh.
A
A
A

SABAK BERNAM - Seorang peniaga durian di Pekan Sungai Besar di sini dikompaun RM1,000 kerana menggunakan alat timbang yang tidak sah dan tamat tempoh.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad berkata, peniaga berusia 50-an itu dikompaun dalam operasi berkenaan.

Menurutnya, tindakan kompaun dikeluarkan mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan atau memiliki alat timbang sukat yang tidak ditentusahkan, ditandakan dengan cap, diperakui atau disahkan.

"Peniaga wajib memastikan penggunaan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan dan masih dalam tempoh sah," katanya pada sidang media selepas operasi pemantauan dan penguatkuasaan berkenaan.

Mengulas lanjut operasi itu, Aminuddin berkata, seramai 30 anggota KPDNHEP Cawangan Selangor menjalankan operasi yang bermula jam 9.30 pagi hingga jam 1.30 petang tadi.

"Pemeriksaan dijalankan di lima premis durian di sekitar Sungai Besar, selain pemeriksaan dijalankan di Pasar Awam Sungai Besar dan dua jeti pendaratan ikan di lokasi berhampiran," katanya.

Menurut beliau, operasi itu akan dijalankan dari masa ke masa selepas pihaknya sebelum ini menguatkuasakan skim harga kawalan sempena Aidilfitri.

"Walaupun skim kawalan harga musim perayaan sudah berakhir, kita akan terus menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana peniaga durian yang cuba mengambil kesempatan dengan tidak mempamerkan tanda harga dan menggunakan alat timbang yang tidak sah," katanya.

Artikel Berkaitan: