X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Penoreh getah martabat loghat Sik melalui Facebook

2
A
A

SIK - Seorang penoreh getah di Kampung Lubok Tualang di sini layak dianggap sebagai ikon daerah ini apabila menggunakan media sosial untuk memperkenalkan loghat Sik kepada masyarakat luar.

Mohamad Wahab, 34, yang juga seorang deejay kenduri berkata, beliau mula aktif di media sosial sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang lalu dengan tampil berceloteh dalam loghat Kedah Hulu di laman Facebook.

Menurutnya, beliau tidak menyangka walaupun menggunakan loghat yang agak asing namun siarannya tetap menerima jumlah penonton yang tinggi.

"Saya hatang (hentam) cakat (cakap) Sik, betey la (biar) orang luar dengar loghat kita, tak sangka hari pertama saya 'bersiaran' pada 25 Mei lalu lebih 500 orang tengok saya," katanya ketika ditemui Sinar Harian di rumahnya di sini.

Katanya, biarpun hanya belajar sehingga Tahun Enam, beliau tetap mempunyai semangat tinggi untuk memartabatkan loghat Sik ke mata dunia.

3
3

"Saya juga mendalami ilmu menjadi deejay daripada deejay Usu Azhat Hamzah yang terkenal menerusi Radio Tv Batu Kurau. Walaupun saya ada pengalaman jadi deejay rumah kenduri tapi hat ni (yang ini) banyak beza sebab perlu pandai guna teknologi.

"Saya bersiaran jam 11 pagi hingga 12 tengah hari dan 9 hingga 11 malam dengan memakai pakaian orang kampung termasuk melilit kain di kepala atau memakai tanjak sebagai identiti diri," katanya yang kini sudah mempunyai lebih 7,000 pengikut di Facebooknya.

Bapa kepada dua orang anak itu berkata, beliau juga mengumpul duit hasil menjual getah, petai dan kelapa sedikit demi sedikit sehinggalah mampu membeli mini pembesar suara dengan harga RM160.

"Hat len (yang lain) macang (seperti) pembesar suara dan kepala fon dipinjam daripada kawang (kawan) sekapung (sekampung), dema (mereka) banyak beri semangat," katanya.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mad Sik DJ berkata, peminatnya kini bukan setakat penduduk di Kedah tetapi dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

4
4

Menurutnya, ramai yang menghubunginya untuk bertanyakan mengenai maksud loghat yang dituturkan malah beliau kini menjadi kebanggaan penduduk serta wakil rakyat di Parlimen Sik.

"Walaupun apa yang saya buat ini, tak dak duit masuk (tidak ada pendapatan), tapi saya seronok dapat perkenalkan loghat Sik kepada masyarakat luar, ada siaran saya sudah mendapat sehingga 90,000 tontonan.

"Cuma sekarang ini saya memerlukan penaja untuk membeli beberapa kelengkapan termasuk internet berkelajuan tinggi berikutan kampung saya berada di kaki bukit dan talian internet sering terputus semasa saya bersiaran," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!