Bantuan sara hidup peneroka dikekalkan  

Datuk Sazmi Miah
A
A

GUA MUSANG- Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) mengekalkan bantuan sara hidup RM1,000 sebulan kepada 2,228 peneroka di lapan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) agensi itu yang dimulakan sejak empat tahun lepas.

Pengerusinya, Datuk Sazmi Miah berkata, pengekalan bayaran bantuan itu bagi meringankan beban perbelanjaan peneroka di RKT itu yang terbabit dengan projek tanam semula ladang mereka sehingga mengeluarkan hasil sepenuhnya.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum bercadang untuk menghentikan bantuan sara hidup itu berikutan purata peneroka masih mengharapkan kepada bantuan berkenaan untuk segala perbelanjaan keluarga.

Bagaimanapun, kata beliau, hanya permintaan peneroka supaya bantuan sara hidup itu ditambah RM500 lagi kepada RM1,500 sebulan belum dapat ditunai berikutan keadaan kewangan negara.

"Kita menafikan dakwaan bantuan sara hidup itu dihentikan kerana kita amat memahami situasi masa kini dihadapi peneroka terbabit," katanya kepada media selepas Majlis Amanat KESEDAR tahun 2019 di Pusat Sivik di sini, hari ini.

Sazmi berkata, situasi sekarang bukan sahaja rakyat dan peneroka di rancangan tanah agensi kerajaan itu berdepan dengan tekanan hidup kerana harga barang keperluan naik, tetapi kerajaan juga menanggung hutang yang banyak.

"Kita amat bersimpati apabila menerima keluhan daripada mereka berhubung kos sara hidup yang tinggi sekarang dan pembelaan tetap diteruskan," katanya.

Ditanya berhubung hak milik tanah peneroka, beliau berkata, perkara itu juga dalam pertimbangan dan menunggu masa sehingga proses dengan kerajaan negeri selesai walaupun bayaran premium tanah sudah dijelaskan sebelum ini.

"Kita memikirkan banyak perkara untuk membantu peneroka sebelum tanah mereka diberi geran hak milik termasuk melatih dalam bidang usahawan seperti yang kebanyakan mereka lakukan bagi menjamin masa depan," katanya. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia