Gerbang malam di Ipoh dibuka semula, peniaga diarah bergilir

Kerajaan negeri hanya membenarkan 60 daripada 128 peniaga menjalankan perniagaan secara bergilir setiap hari di Gerbang Malam.
Kerajaan negeri hanya membenarkan 60 daripada 128 peniaga menjalankan perniagaan secara bergilir setiap hari di Gerbang Malam.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri hanya membenarkan 60 daripada 128 peniaga menjalankan perniagaan secara bergilir setiap hari di Gerbang Malam yang merupakan antara tarikan di bandar raya ini, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, selain itu setiap gerai yang dibenarkan beroperasi perlu berjarak tiga meter antara satu sama lain bagi memastikan jarakan sosial untuk mengelak penularan wabak koronavirus (Covid-19).

"Selain itu, tidak kira siapa yang memasuki kawasan ini juga perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti mengambil suhu badan, memakai pelitup muka dan mengikut aliran jalan yang telah ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya di sini malam tadi.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas meninjau Gerbang Malam yang dibuka semula setelah ditutup sejak 18 Mac lalu kerana Perintah Kawalan Pergerakan.

Hadir sama, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi serta Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.

Ahmad Faizal berkata, walaupun mengalu-alukan kehadiran orang ramai, namun pihaknya tidak menggalakkan warga emas dan kanak-kanak di bawah usia 12 tahun untuk mengunjungi kawasan berkenaan kerana mereka merupakan golongan berisiko dijangkiti Covid-19.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berharap orang ramai sentiasa peka dan tidak mengambil mudah setiap SOP yang ditetapkan walaupun pelbagai kelonggaran telah diberikan oleh kerajaan sepanjang tempoh PKPP.

"Untuk jangka masa sekarang ini kita masih dalam PKPP, kita masih terus perlu berhati-hati dan nasihat daripada pihak berwajib perlu terus kita patuhi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Rumaizi memaklumkan pihaknya bersetuju untuk memanjangkan tempoh operasi pasar malam di Ipoh bermula dari 4 petang sehingga 10 malam berbanding setakat 7 malam sebelum ini selepas dibenarkan dibuka semula di bawah PKPP.

Tambahnya, waktu Gerbang Malam pula kekal beroperasi dari 5 petang hingga jam 12 tengah malam dalam tempoh PKPP. - Bernama