KPDNHEP serbu premis seleweng LPG

KPDNHEP Selangor menyita 596 tong gas LPG dalam Ops Tiris di Bukit Dukung, Kajang semalam.
KPDNHEP Selangor menyita 596 tong gas LPG dalam Ops Tiris di Bukit Dukung, Kajang semalam.
A
A
A

KAJANG - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor menyerbu sebuah premis di Bukit Dukung, di sini yang disyaki menjalankan kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi, semalam.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Selangor, Aminuddin Muhammad berkata, operasi Ops Tiris itu dijalankan sepasukan anggotanya dengan kerjasama pihak polis kira-kira jam 5 pagi hasil maklumat dan risikan.

Melalui hasil pemeriksaan, pihaknya telah menyita sejumlah 596 tong gas LPG berkapasiti 14 kilogram (kg) dan 50kg pelbagai jenama.

"Turut dirampas ialah dokumen-dokumen yang berkaitan serta sebuah lori tiga tan.

"Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM95,210.80," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati kegiatan itu dipercayai telah beroperasi sejak dua tahun lalu malah semakan juga mendapati lot tanah premis terbabit tidak mendapat kelulusan tanah industri daripada pihak berkuasa tempatan.

Katanya, pihaknya telah merekod keterangan dua individu iaitu pekerja serta pemilik premis terbabit untuk siasatan lanjut.

"KPDNHEP percaya tong gas terbabit diedarkan di sekitar daerah Kajang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, kes disiasat mengikut Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.