Penjana patut dibahas di Parlimen

Amiruddin Hamzah
Amiruddin Hamzah
A
A
A

ALOR SETAR - Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) sepatutnya dibahaskan di Parlimen terlebih dahulu sebelum membuat sebarang keputusan melibatkan perbelanjaan kerajaan Persekutuan yang menelan kos sebanyak RM15 bilion dalam suntikan fiskal.

Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, tidak dinafikan ia membantu merancakkan ekonomi menerusi insentif dan subsidi tertentu, namun adalah lebih baik sekiranya dibahaskan untuk mendapatkan input penambahbaikan daripada semua ahli Parlimen.

Menurutnya, sekiranya ia melibatkan pinjaman wang dan perubahan kepada Bajet 2020, kelulusan dari Parlimen adalah diperlukan.

“Saya sambut baik inisiatif kerajaan ini dalam memastikan ekonomi negara terjaga dalam keadaan pandemik Covid-19. Namun adalah lebih elok sekiranya kerajaan memanfaatkan sistem Parlimen sedia ada untuk berbahas terlebih dahulu kerana kita ada sistem berparlimen dalam negara dan kerajaan mengeluarkan duit tanpa berbahas di Parlimen,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Amiruddin berkata, penambahan dana itu secara langsung meningkatkan nilai defisit kerajaan yang kini bernilai RM111.7 bilion atau 6.9 peratus dari Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

“Ini adalah duit pembayar cukai dan duit rakyat yang seharusnya disemak imbang oleh pembangkang untuk mendapat keputusan lebih baik untuk rakyat,” katanya.

Menurutnya, antara kekurangan utama Penjana adalah menyelesaikan jurang ekonomi dan jurang sosial rakyat.

“Adalah menjadi tugas hakiki mana-mana kerajaan sama ada dipilih secara rasmi oleh rakyat melalui pilihan raya atau ‘membawa lari mandat rakyat’ untuk memastikan kestabilan ekonomi. Slogan ‘no one left behind’ dilaungkan Perdana Menteri tidak terlihat dalam Penjana ini.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya, peniaga kecil seperti Makcik Kiah tidak dapat manfaat pakej rangsangan ini. Peniaga kecil tidak tergolong dalam perniagaan kecil dan sederhana (PKS) kerana mereka dalam kategori 'informal sector' dalam ekonomi,” katanya.

Amiruddin berkata, kebanyakan peniaga kecil perlu bermula dari bawah untuk meneruskan kehidupan apabila baru sahaja dibenarkan berniaga.

“Makcik Kiah hanya bertahan dengan pemberian Bantuan Prihatin Nasional yang tidak lagi mencukupi untuk masa akan datang. Sudahlah tutup gerai sejak Mac, tiada lagi bantuan tambahan bagi golongan kecil seperti ini,” katanya.

Menurutnya, dari aspek pendidikan yang menawarkan pakej internet percuma 1GB sehari pula tidak mencukupi untuk kegunaan pelajar miskin.

“Laporan WhitstleOut menunjukkan, satu jam sesi panggilan video berkumpulan memakan data 810MB sejam. Ini sudah menggunakan 80 peratus daripada data percuma diberikan. Bagaimana seorang pelajar mempunyai tiga kelas, sekurang-kurangnya tiga jam sesi panggilan video, yang akan gunakan data sehingga 2.4GB sehari. Mereka tidak mampu beli data tambahan internet bagi menampung penggunaan pendidikan,” katanya.

Amiruddin berkata, kerajaan seharusnya memberi akses tidak terhad terhadap aplikasi panggilan video bukan hanya kepada laman sesawang kerajaan dan aplikasi kerajaan.

“Insentif sektor hartanah diperkenalkan juga tidak membantu golongan peniaga kecil dan B40. Ia hanya menguntungkan syarikat hartanah dan golongan kaya. Dengan menarik semula had pembiayaan 70 peratus bagi rumah ketiga berharga RM600,000 ke atas, hanya akan meningkatkan lagi jurang pemilikan rumah antara golongan kaya dan B40,” katanya.

Menurutnya, mereka yang berkemampuan kini menambah unit rumah susulan pengenalan polisi ini.

“Rakyat miskin hanya mampu melihat dan terus menyewa rumah seumur hidup. Adalah lebih elok sekiranya perumahan mewah dibiarkan harganya berubah mengikut pasaran bebas. Kerajaan harus fokus bantuan untuk rumah mampu milik agar lebih ramai rakyat mampu memiliki rumah sendiri,” katanya.

Amiruddin turut membidas kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang akhirnya mengakui pemberian wang secara digital adalah inisiatif baik dalam menggalakkan pembayaran tanpa tunai.

“Kerajaan PN meneruskan inisiatif kerajaan Pakatan Harapan (PH) dengan memberikan e-dompet bernilai RM50. Walaupun sebelum ini, usaha sama dilakukan PH ditentang dengan fitnah kononnya berlaku ketirisan data, nampaknya mereka meneruskan usaha diperkenalkan PH,” katanya.

Pada 5 Jun lalu, kerajaan memperkenalkan Penjana bagi merangsang ekonomi negara membabitkan peruntukan RM35 bilion.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej itu bertujuan memperkukuh ekonomi negara yang terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak awal tahun ini.