The Gunners mencari tonik terbaik di Etihad

Aubameyang (tengah) bakal mengetuai The Gunners dalam misi meraih tiga mata apabila bertandang ke Etihad menentang Manchester City awal pagi esok.
Aubameyang (tengah) bakal mengetuai The Gunners dalam misi meraih tiga mata apabila bertandang ke Etihad menentang Manchester City awal pagi esok.
A
A
A

Pengendali Arsenal, Mikel Arteta mengakui barisan pemainnya harus mencari motivasi tanpa bantuan daripada para penyokong mereka apabila saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali bersambung awal pagi esok.

Skuad The Gunners akan turun ke padang pada aksi kedua EPL yang disambung semula pertengahan minggu ini apabila berdepan Manchester City di Stadium Etihad - kurang tiga jam selepas perlawanan pembukaan antara Aston Villa dan Sheffield United di Villa Park.

Selepas menyaksikan saingan Bundesliga kembali berlangsung bulan lalu tanpa penyokong di kaca televisyen, Arteta sedar cabaran yang bakal dihadapi anak-anak buahnya apabila beraksi di gelanggang lawan mereka nanti.

Arteta percaya ia akan menjadi sukar buat sebahagian pemainnya untuk mempamerkan kesungguhan kerana mereka tidak mendapat aura sebenar daripada stadium yang sepatutnya dipenuhi para penonton.

"Apabila saya berada di Emirates dan tiada penyokong, anda tidak rasa sebarang tenaga. Perlawanan akan menjadi sedikit berbeza, tekanannya sedikit menurun.

"Sokongan daripada penonton sudah tidak ada lagi, jadi kami perlu menyesuaikan diri. Saya perlu cari jalan untuk memberi motivasi kepada para pemain kami dalam keadaan itu," katanya.

Seperti kebanyakan pengurus lain, Arteta turut bimbang mengenai tahap kecergasan para pemainnya ketika mereka dipaksa berusaha sendirian ketika perintah berkurung akibat pandemik Covid-19 sebelum ini.

"Saya harap pemain-pemain dapat memberikan prestasi terbaik mereka biarpun saya sedar mereka akan menghadapi masalah untuk mendapatkan momentum sebelum aksi liga ditangguhkan," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Arteta yakin pihak pengurusan Arsenal dapat memujuk pemain bintangnya, Pierre-Emerick Aubameyang untuk kekal bersama The Gunners.

"Kami mengadakan banyak perbincangan dengan Pierre, keluarga dan ejennya. Saya amat positif bahawa kami akan dapat menemui kesepakatan dengan semua pihak," ujarnya.