X

Kindly register in order to view this article
!

Geran khas mampu pacu kembali sukan negara

Mohamad Norza
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) menyifatkan pemberian geran khas oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebagai suntikan semangat kepada sektor sukan negara yang terkesan akibat penularan pandemik Covid-19.

Menurut Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria, pemberian geran khas itu juga boleh disifatkan sebagai satu pakej rangsangan untuk industri sukan negara kembali aktif.

“MOM menyambut baik cadangan pemberian geran khas ini kerana secara tidak langsung dapat membantu menghidupkan kembali industri sukan yang terjejas teruk akibat Covid-19.

“Tidak hanya persatuan-persatuan sukan kebangsaan dan negeri sahaja yang terjejas tetapi juga akademi-akademi sukan serta pengusaha-pengusaha industri sukan lain.

“Kita tidak mahu apabila tiada bantuan diberikan oleh kerajaan, mereka yang sudah sememangnya terjejas akan gulung tikar seterusnya hilang motivasi untuk menghidupkan kembali aktiviti sukan masing-masing.

“Cadangan pemberian geran khas ini juga secara tidak langsung menunjukkan bahawa pihak kerajaan amat prihatin terhadap pengusaha industri sukan tanah air,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Semalam Sinar Harian melaporkan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal memberitahu bahawa KBS dalam fasa terakhir menentukan geran khas kepada sektor sukan yang terkesan akibat Covid-19.

Laporan Sinar Harian semalam.
Laporan Sinar Harian semalam.

Menurut Wan Ahmad Fayhsal, KBS kini sedang meneliti beberapa lagi maklumat akhir dan mengumpul setiap data yang diperlukan sebelum pemberian geran berkenaan diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Norza yang juga Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menegaskan, walaupun industri sukan negara ini kecil, namun tetap berperanan dan memberikan impak besar dalam agenda penyatuan nasional.

“Melalui sektor industri sukan kita sebenarnya membawa feel good factor bahawa keadaan sudah pulih yang sukar kita nampak dalam kalangan sektor industri lain di negara ini.

“Melalui industri sukan juga ia boleh membawa imej Malaysia bahawa rakyat di negara ini tanpa mengira latar bangsa dan agama bersatu untuk memutuskan rantaian pandemik Covid-19,” ujarnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!