Kemelut PN berdepan PRU-15

Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin dikatakan bakal berdepan kemelut dalam pembahagian kerusi menjelang PRU-15 nanti.
Perikatan Nasional pimpinan Muhyiddin dikatakan bakal berdepan kemelut dalam pembahagian kerusi menjelang PRU-15 nanti.
A
A
A

SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) diramal berdepan kesukaran menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akibat persengketaan pembahagian kerusi apabila tiga parti komponen PN bersaing merebut konstitusi sama iaitu Melayu-Islam.

Kemelut pengagihan kerusi akan menjadi lebih sukar untuk diselesaikan sekiranya UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertegas tidak mahu melepaskan kubu dan kerusi yang dimenangi pada PRU-14 lalu.

Sehingga kini, pembahagian kerusi dalam kalangan ahli Parlimen Muafakat Nasional iaitu UMNO dan Pas masih belum diputuskan. Itu belum lagi kerusi yang hendak diberikan kepada Bersatu termasuk kumpulan bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Sudah pasti timbul persoalan siapakah yang akan mengalah? Malah, sudah ada pihak yang menjangkakan UMNO dan Pas tidak akan menyerahkan kerusi kepada Bersatu atau tunduk kepada Mohamed Azmin.

Penganalisis politik dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Madya Dr Ahmad Martadha Mohamed yakin UMNO pasti mahu mengekalkan kerusi tradisi mereka.

Menurutnya, UMNO sudah tentu akan mengatakan parti itu menang di kerusi berkenaan atas dasar UMNO termasuk sebelum berlaku lompat parti sekali gus parti itu dijangka menuntut dan mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU-14.

“Mereka yang menyertai Bersatu itu pula termasuk bekas menteri era pentadbiran Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut) dan bekas Timbalan Menteri, Datuk Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) dan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing).

“Empat yang lain ialah Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) dan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam). Itu dalam konteks UMNO,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dominasi

Mengulas lanjut, Ahmad Martadha bagaimanapun menjangkakan tidak akan berlaku pertembungan tiga penjuru di kawasan terbabit sekiranya dibincangkan dengan baik.

“Perbincangan untuk pembahagian kerusi itu bagi saya mesti sukar. Itu pasti dan mereka akan cuba mempertahankan kerusi itu. Tidak kira UMNO, Pas, Bersatu atau kem Mohamed Azmin, masing-masing akan bertegas kerana mereka menang,” katanya.

Dr Ahmad Martadha Mohamed
Dr Ahmad Martadha Mohamed

Sementara itu, Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub mengakui pengagihan kerusi bagi PN sukar dilakukan namun Muafakat Nasional boleh menggunakan kaedah pembahagian kerusi menerusi jumlah undi diperoleh UMNO dan Pas dalam PRU-14.

“Terdapat tiga kaedah boleh diambil Muafakat Nasional iaitu berdasarkan dominasi. Kerusi yang dimenangi Pas atau UMNO dalam PRU-14 wajar ditandingi parti berkenaan. Bagi kerusi kalah pula boleh ikut kiraan undi yang paling banyak.

“Sama ada Pas atau UMNO, mana yang lebih tinggi dialah akan bertanding. Kedua-dua pihak juga boleh menggunakan budi bicara bagi kawasan yang dilihat mempunyai kekuatan hampir sama,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi.

Mustapha Yaakub
Mustapha Yaakub

Pada PRU-14 lalu, BN memenangi 32 kerusi Parlimen daripada 77 kerusi melibatkan pertandingan tiga penjuru, Pas (23 kerusi) dan Pakatan Harapan (22 kerusi), namun secara keseluruhannya, UMNO menang 54 kerusi dan Pas 18 kerusi, menjadikan jumlah keseluruhannya 71 ahli Parlimen.

Mengambil kira keputusan itu, UMNO dan Pas di bawah Muafakat Nasional dijangka terus mengekalkan kerusi dimenangi mereka pada PRU-14 dengan melepaskan tujuh kerusi kepada Bersatu bagi mengelak berlaku pertembungan tiga penjuru.

Itu tidak mengambil kira kerusi 10 bekas ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang kini menyertai Bersatu diketuai Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Selain Azmin ialah Zuraida Kamaruddin (Ampang), Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Baru Bian (Selangau), Datuk Kamarudin Jaffar (Bandar Tun Razak), Datuk Mansor Othman (Nibong Tebal), Datuk Mohd Rashid Hasnon (Batu Pahat), Ali Biju (Saratok) dan Willie Mongin (Puncak Borneo).

Seorang lagi, Datuk Seri Dr Santhara Kumar (Segamat) yang menjadi ahli bersekutu parti itu.

Bincang

Ketika ditanya mengenai kedudukan ahli Parlimen Bersatu pada PRU-15, katanya, ia sukar dijelaskan walaupun Bersatu bersama Muafakat Nasional dalam kerajaan PN selagi satu persetujuan bersama tidak diambil oleh parti dalam PN.

“Setakat ini, kita belum dengar lagi dan tidak mustahil akan berlaku pertembungan tiga penjuru di kawasan tertentu sekiranya tiada persepakatan bagi menentukan calon PN yang akan bertanding pada PRU-15 akan datang,” katanya lagi.

Veteran Pas, Datuk Mustafa Ali pula menjangkakan PRU-15 tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat berdasarkan keadaan politik semasa. Disebabkan faktor itu, katanya, parti-parti dalam PN mempunyai masa untuk membincangkan mengenai pengagihan kerusi.

Menurutnya, jika parti dalam kerajaan sekarang sudah membuat keputusan mengenai pengagihan kerusi maka pertembungan membabitkan Muafakat Nasional, Bersatu dan Pakatan Harapan tidak akan berlaku pada PRU-15.

“Saya rasa kalau mereka sudah memutuskan pengagihan kerusi, tidak mungkin berlaku pertandingan sesama sendiri,” katanya.

Mustafa Ali
Mustafa Ali