Emas di sebalik duri

No Image Caption
A
A
A

Kelonggaran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) umpama minggu perayaan tambahan masyarakat yang sudah boleh merentas negeri untuk balik kampung atau melancong.

Ternyata pengumuman itu juga tepat pada masanya apabila beberapa lokasi di Perak mula menjadi perhatian bila tibanya musim durian.

Perak adalah antara negeri yang mendominasi tanaman raja buah itu selain Pahang dan Johor.

Batu Kurau sudah tidak asing lagi bagi peminat raja buah dari seluruh negara kerana keunikannya.

Daripada 22 kampung yang ada, terdapat beberapa kampung yang menjadi tumpuan antaranya Sempeneh, Air Itam, Kampung Perak dan Kampung Jelai yang mempunyai banyak dusun dimiliki penduduk setempat.

Bukan durian komersial yang dicari sebaliknya durian kampung dari ‘tukugho’ itu telah menggamit peminat sekaligus mendapat permintaan tinggi di pasaran. Durian bukit itu menjadi pilihan kerana kualiti rasa dan tidak mudah rosak.

Tidak hairanlah pada tahun lalu, penduduk boleh menganjurkan program makan durian secara percuma yang dihadiri lebih 10,000 pengunjung.

Bagi peraih, Mohamad Ilyas Nasib, 52, berkata, dia dapat menjual lebih 30 tan durian kampung yang dibeli daripada lebih 200 pekebun kecil sekitar kawasan itu dalam tempoh beberapa jam.

Artikel Berkaitan:

Pusat Pengumpulan Ladang FAMA miliknya di Kampung Sempeneh Cempaka menjadi tumpuan pembeli yang sanggup menunggu seawal jam 7 pagi.

Istimewanya durian-durian kampung yang dikutip awal pagi dijual terus kepada pelanggan menjadikan ia berbaloi untuk membelinya.

Tiga bulan sepi tanpa sebarang aktiviti, PKPP merupakan peluang kepada penduduk kampung menjana kembali pendapatan selepas terjejas akibat pandemik Covid-19. Ironinya, keadaan itu tidak menjejaskan harga penjualan durian-durian itu.

Sepanjang tempoh lapan tahun kebelakangan ini, harga durian bertambah baik dan durian kampung kini dapat dijual hingga RM10 sekilogram manakala durian klon pula mencecah hingga RM60 sekilogram.

Pasaran

Dari sudut pasaran dalam industri durian, permintaan pasaran dalam negeri terus meningkat terutama di Pusat Pemprosesan Durian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) kerana kegunaan untuk pembuatan bio-produk.

Pelbagai jenis durian kampung ada tetapi durian berkualiti tinggi atau klon seperti D197 (Musang King), D200 (Duri Hitam) dan D24 juga tidak diketepikan.

Negara lain yang mengimport durian ialah Australia, China, Hong Kong, negara-negara Eropah, Amerika Syarikat dan Kanada. Namun, potensi sebenar ialah China yang menjadi pengimport terbesar apabila laluan pasaran durian dibuka.

Pusat Pemprosesan Durian FAMA Batu Kurau adalah antara salah satu daripada 11 pusat yang mendapat pengiktirafan untuk memproses dan mengeksport durian ke China oleh Pentadbiran Am Kastam Republik Rakyat China (GACC) pada Oktober tahun lalu.

Pengeksport durian, Datuk Teoh Seow Chiew menjelaskan bahawa durian jenis musang king dan duri hitam mendapat permintaan tinggi dari republik itu kerana kualiti premium dan isinya yang tebal.

Hakikatnya, duri hitam merupakan jenis baharu yang tidak mempunyai bekalan yang banyak untuk dieksport.

“Kawasan utara amat sesuai untuk penanaman durian duri hitam berbanding negeri lain kerana buahnya lebih sedap dan isinya yang berwarna oren amat digemari rakyat negara China.

“Duri hitam mempunyai potensi besar untuk meraih keuntungan kerana ia buah paling mahal berbanding musang king,” kata Seow Chiew.

Menyedari potensi Batu Kurau sebagai kluster pengeluaran raja buah itu, kerajaan negeri turut bercadang untuk membina taman durian sebagai usaha meningkatkan ekonomi petani dan negeri.

Cadangan yang baru pada peringkat awal dilaksanakan itu dijangka dapat menarik permintaan yang banyak sekaligus dapat mengurangkan masalah bekalan durian untuk dijual mahupun eksport.

Lambakan durian juga telah diatasi menerusi pemprosesan dan pemasaran durian sejuk beku.

Strategi mengembangkan industri itu boleh dilakukan dengan perancangan tersusun bagi memperluaskan kawasan tanaman durian komersial bermutu tinggi selain agresif dalam aktiviti pemasaran oleh pelbagai pihak.

Industri durian menjadi lombong emas kepada pengusaha dan sokongan kerajaan di bawah Jabatan Pertanian dan FAMA. Ia boleh membantu pembangunan prestasi dan potensi kepada permintaan domestik mahupun luar negara untuk jangka panjang.

* Noor Ainon Mohamed Yusof ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Perak