Ibadat haji menunggu lampu hijau Arab Saudi

Umat Islam bersolat sunat Hari Raya Aidilfitri di depan Kaabah, Mekah pada 24 Mei lalu. - Foto AFP
Umat Islam bersolat sunat Hari Raya Aidilfitri di depan Kaabah, Mekah pada 24 Mei lalu. - Foto AFP
A
A
A

Arab Saudi dijangka mengurangkan bilangan jemaah haji atau menunda ibadat itu buat pertama kali tahun ini dalam sejarah moden negaranya, kata beberapa pemerhati.

Negara-negara Islam kini mendesak Riyadh untuk memberikan keputusan yang sekian lama dinantikan sama ada ibadat tersebut akan diteruskan mengikut jadual pada lewat bulan Julai ini.

Namun, ketika negara beraja itu sedang menhadapi risiko politik dan ekonomi di wilayah yang boleh menyebabkan tercetusnya keganasan, waktu sudah semakin suntuk bagi mengendalikan logistik untuk salah satu perhimpunan terbesar dunia itu.

Pada tahun lalu, ibadat haji disertai oleh kira-kira 2.5 juta jemaah.

Namun, ia kelihatan seperti tidak akan berlangsung pada tahun ini selepas pihak berkuasa menasihatkan umat Islam pada bulan Mac lalu untuk menangguhkannya berikutan berlakunya penyakit yang mudah berjangkit.

"Ia seperti memilih antara mengendalikan ibadat haji atau ia tidak dikendalikan sepenuhnya," kata seorang pegawai Asia Selatan yang mempunyai hubungan dengan pihak berkuasa haji Arab Saudi kepada agensi berita AFP.

Seorang pegawai Arab Saudi memberitahu AFP: "Keputusan (mengendalikan haji) akan dibuat secepat mungkin dan akan diumumkan."

Indonesia yang merupakan negara paling ramai penduduk Islam tidak menghantar jemaah haji pada tahun ini.

Artikel Berkaitan:

Musim haji tahun ini masih menunggu kelulusan daripada kerajaan Arab Saudi. - Foto AFP
Musim haji tahun ini masih menunggu kelulusan daripada kerajaan Arab Saudi. - Foto AFP

Keputusan itu dibuat selepas Riyadh didesak memberikan penjelasan dengan seorang menteri berkata, ia sebagai 'satu keputusan yang sukar dan amat pahit.'

Malaysia, Senegal dan Singapura mengikut langkah Indonesia dengan membuat pengumuman yang sama.

Banyak negara Islam yang mempunyai penduduk beragama Islam dari Mesir dan Maghribi hingga ke Turki, Lebanon serta Bulgaria menyatakan masih menunggu keputusan Riyadh berhubung pelaksanaan ibadat haji.

Di negara seperti Perancis, para pemimpin agama Islam menggesa penduduk yang beragama itu untuk menangguhkan ibadat haji sehingga tahun depan berikutan risiko persekitaran pandemik Covid-19.

Ibadat haji wajib dilakukan oleh umat Islam sekali seumur hidup mereka.

Jika dilaksanakan, ia menjadi sumber berpotensi jangkitan penyakit memandangkan ibadat tersebut menghimpunkan berjuta-juta jemaah haji ke lokasi-lokasi agama.

Namun, sebarang keputusan untuk mengehadkan atau tidak mengendalikan ibadat haji akan menyebabkan para pengikut Islam fanatik menjadi marah.

Ia juga menimbulkan isu berhubung hak penjagaan tempat agama Islam paling suci di Arab Saudi.

Bagaimanapun, satu siri tragedi kematian sejak bertahun-tahun lalu pernah berlaku di negara tersebut termasuk kejadian rempuhan pada tahun 2015 yang menyebabkan sehingga 2,300 orang meninggal dunia sekali gus telah mencetuskan kritikan terhadap cara pengurusan ibadat haji dilaksanakan di negara itu.

"Menangguhkan keputusan (mengendalikan ibadat haji) menunjukkan ia memahami kesan politik tentang pembatalan pengendalian haji atau mengurangkan skalanya," kata Umar Karim.

Umar merupakan felo pelawat Institut Perkhidmatan Bersatu Diraja di London kepada agensi berita AFP.

"Negara beraja itu sedang 'membeli masa' ketika ia melangkah dengan berhati-hati," kata pegawai dari Asia Selatan tersebut.

"Pada saat-saat akhir jika Arab Saudi berkata 'kami sedia mengendalikan ibadat haji dengan sepenuhnya (logistiknya), ramai negara tidak akan berada dalam keadaan untuk menyertainya, " katanya.

Di tengah-tengah penerbangan antarabangsa digantung, pengurangan bilangan jemaah haji dengan hanya penduduk tempatan dibenarkan mengerjakan haji merupakan satu senario yang kemungkinan bakal berlaku, kata pegawai tersebut.

Satu keputusan untuk tidak mengendalikan haji pada tahun ini mungkin akan menjadi yang pertama sejak Arab Saudi ditubuhkan pada tahun 1932.

Sebelum ini, Arab Saudi mengendalikan ibadat gaji semasa wabak Ebola dan Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS).

Namun, adalah menjadi sukar untuk menangani virus tersebut ketika berlakunya peningkatan dalam kes harian dan kematian sejak pihak berkuasa melonggarkan sekatan pergerakan pada lewat bulan Mei.

Di hospital-hospital Arab Saudi, sumber-sumber memberitahu, katil-katil di unit rawatan rapi dipenuhi dengan cepat.

Berlaku juga peningkatan pekerja-pekerja kesihatan dijangkiti virus tersebut di unit rawatan rapi ketika jumlah kes sudah meningkat kepada 130,000.

Jumlah kematian pula melepasi 1,000 orang pada Isnin lalu.

Bagi menangani kenaikan kes tersebut, pihak berkuasa pada bulan ini mengetatkan lagi sekatan pergerakan di bandar raya Jeddah iaitu pintu masuk ke kota Mekah untuk melaksanakan ibadat haji.

"Ibadat haji merupakan satu perjalanan kerohanian penting dalam kehidupan setiap Muslim. Bagaimanapun, jika Arab Saudi meneruskan senario ini, ia tidak akan hanya membebani sistem kesihatannya," kata Yasmine Farouk dari pihak Pembiayaan Carnegie Untuk Keamanan Antarabangsa.

"Arab Saudi juga akan dipertanggungjawabkan kerana merebaknya pandemik tersebut," ujarnya.

Membatalkan pengendalian haji akan menyebabkan kehilangan besar pendapatan negara beraja itu.

Arab Saudi sebelum ini mengalami dua kejutan iaitu kejatuhan harga minyak dan penurunan kes virus yang perlahan.

Dalam pada itu, urusan bagi mengerjakan umrah di negara tersebut telah digantung sejak Mac lalu.

Menurut data kerajaan, urusan haji dan umrah menambah AS$12 bilion (RM51.30 bilion) kepada ekonomi Arab Saudi setiap tahun.

Justeru, keputusan negatif akan menjejaskan berjuta-juta jemaah haji di seluruh dunia yang kerap melabur simpanan mereka dan sanggup menunggu lama untuk mengerjakan ibadat tersebut.

"Saya tidak dapat membantu tetapi berasa kecewa. Saya telah menunggu (untuk mengerjakan haji) selama bertahun-tahun," kata seorang kakitangan awam, Ria Taurisnawati, 37, kepada agensi berita AFP dengan sebak.

"Semua persediaan sudah saya lakukan. Baju telah disediakan dan saya telah divaksinasikan. Tetapi, Tuhan mempunyai pelan lain," ujarnya. - AFP