Awas gelombang ketiga Covid-19

No Image Caption
A
A
A

PERTUBUHAN Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan, sekitar 1.7 bilion atau 20 peratus penduduk dunia berdepan risiko tinggi dijangkiti Covic-19 disebabkan mempunyai masalah kesihatan seperti obesiti dan penyakit jantung.

Sehingga kini, gelombang pertama virus itu sudah membunuh hampir 440,000 orang di seluruh dunia dan akan memberi kesan lebih teruk kepada mereka yang berpenyakit bahaya. Kajian juga mendapati, satu daripada lima orang akan berdepan risiko tersebut, malah kira-kira empat peratus penduduk global atau 350 juta penduduk boleh dijangkiti dan memerlukan rawatan hospital.

Tambahan pula, ketika ini banyak negara sudah tidak lagi melaksanakan perintah berkurung atau mengamalkan perintah berkurung yang dilonggarkan demi memacu pertumbuhan ekonomi di negara masing-masing, maka risikonya lebih tinggi. Apatah lagi terdapat sesetengah negara yang telah mula membuka pintu untuk aktiviti pelancongan.

Hal ini turut mencetuskan kebimbangan bahawa Malaysia bakal berdepan gelombang ketiga susulan kewujudan kluster pendatang asing, pembukaan pusat beli-belah dan penjarakan sosial tidak dipatuhi orang ramai.

Adalah tidak mustahil untuk negara mencatatkan peningkatan kes harian seperti sebelum PKP dilaksanakan jika pendekatan keselamatan yang dilaksana dan diamalkan selama ini mula diabaikan dan dipandang enteng kerana rakyat meraikan kemenangan dan tidak lagi kisah apatah lagi kecenderungan wujudnya perhimpunan awam.

Sehingga 15 Jun, Malaysia mencatatkan 8,494 kes Covid-19 dengan 121 kematian (1.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes). Pada 15 Jun, sejumlah 41 kes baharu dilaporkan dengan 38 kes penularan tempatan (6 kes membabitkan warga tempatan) dan selebihnya kes import.

Walaupun mencatatkan satu atau dua angka, kita jangan leka dengan kejayaan melawan pandemik ini kerana, kita belum berjaya memutuskan sepenuhnya rantaian jangkitan di negara ini.

Buktinya empat kluster Covid-19 dikesan masih aktif di negara ini sehingga hari ini. Ia membabitkan kluster Pedas, kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Bukit Jalil, kluster syarikat pembersihan dan kluster warga emas Kuala Selangor.

Artikel Berkaitan:

Kluster Pedas mencatatkan sebanyak 295 kes, kluster DTI Bukit Jalil (644), kluster syarikat pembersihan (31) dan kluster warga emas Kuala Selangor (3). Walaupun 22 kluster yang lain tiada pertambahan dicatatkan, namun apa yang membimbangkan adalah kluster Pedas mencatat pertambahan 15 kes, kluster DTI Bukit Jalil pula pertambahan 14 kes, kluster syarikat pembersihan dua kes dan kluster warga emas Kuala Selangor pertambahan satu kes.

Kemungkinan jika tidak berhati-hati akan wujud kluster gunting rambut dan kluster raya pula. Semua ini berupaya mencetuskan gelombang ketiga jangkitan Covid-19 di negara ini, tambahan pula jika semua pihak masih gagal mematuhi sepenuhnya SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Perlu diketahui, ramai yang positif Covid-19 hanya mengalami gejala ringan atau langsung tiada gejala seterusnya berupaya menyebarkan virus ini kepada orang lain.

Oleh itu, orang ramai dinasihatkan tidak mengambil mudah kelonggaran PKPP kerana individu dewasa berisiko tinggi menjadi pembawa virus tanpa disedari, terutama kepada anak-anak mereka ataupun anak kalangan ahli keluarga terdekat kerana jangkitan virus ini sudah menular dalam kalangan ramai kanak-kanak meskipun tiada kematian membabitkan golongan tersebut.

Sehingga 17 Mei, seramai 317 kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah dikesan positif virus itu dan Selangor mencatatkan kes jangkitan tinggi dan ini setara dengan beban kes pesakit dewasa.

Justeru, ibu bapa perlu mengelak daripada dijangkiti dengan cara kurang berjumpa orang, tidak kunjung-mengunjung, amalan sanitasi diri dan sentiasa memakai pelitup muka.

Ibu bapa yang berisiko tinggi, misalnya yang baru pulang dari tempat kerja atau berurusan di luar rumah dalam tempoh lama, digalakkan menyaring diri sendiri meskipun tiada gejala terutama jika dalam keluarga mempunyai anak kecil, orang kurang upaya atau warga emas.

Jangan kerana kelalaian kita sebagai ibu bapa, merebaknya kes kalangan kanak-kanak hingga berpotensi mewujudkan gelombang ketiga jangkitan.

Ringkasnya, terdapat banyak faktor boleh menyumbang kepada peningkatan kes positif wabak ini hingga berupaya mewujudkan gelombang ketiga pandemik ini. Maka tidak menghairankan jika terdapat pakar kesihatan awam yang mahu kerajaan menilai semula kelonggaran pergerakan berikutan ketika ini masih tiada vaksin atau imuniti kelompok yang mampu memulihkan wabak Covic-19.

Meskipun kes jangkitan baharu Malaysia kekal dua angka, kewujudan kluster baharu dikhuatiri berupaya mencetuskan gelombang ketiga virus. Selagi tiada penemuan vaksin khas, kita terus berdepan kewujudan gelombang kecil, dan dengan kelonggaran pergerakan dan operasi perniagaan semula ia akan mengakibatkan kes jangkitan baharu.

Oleh itu, selain menyesuaikan diri dengan normal baharu pandemik Covic-19, masyarakat perlu mematuhi tanggung jawab sosial masing-masing.

Pandemik Covic-19 akan terus berlegar dalam kalangan masyarakat. Justeru tiga perkara penting yang perlu diamalkan adalah mengelakkan tempat yang sesak, kawasan tertutup dan elakkan bercakap pada jarak yang dekat (kurang dari satu meter).

Pada masa ini, langkah berkesan mencegah Covic-19 ialah menjaga dan mempraktikkan amalan kebersihan diri dengan kerap membasuh tangan dengan air dan sabun, menggunakan pelitup muka dan mengamalkan penjarakan sosial dengan jarak sekurang-kurangnya satu hingga dua meter antara satu dengan lain.

Semuanya bergantung kepada kita, yang mana setiap orang mempunyai peranan untuk dilakukan bagi mengelak potensi gelombang ketiga Covic-19.

Hargailah segala penat lelah dan kerja keras sepanjang masa barisan hadapan (frontliners) kita selama ini.

Sekiranya masyarakat tiada disiplin dalam menjaga penjarakan sosial akan ada penularan mikro (micro-outbreaks) dan mewujudkan kluster baharu, tidak mustahil PKP dilaksanakan semula disebabkan peningkatan kes secara mendadak atau apa yang dikatakan gelombang ketiga Covic-19.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS),Universiti Putra Malaysia