Curi RM50 duit tabung masjid

Tertuduh, Mohd Hafiz Ibrahim, dijatuhi hukuman sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, kerana mencuri duit tabung masjid sebanyak RM50.
Tertuduh, Mohd Hafiz Ibrahim, dijatuhi hukuman sembilan bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, kerana mencuri duit tabung masjid sebanyak RM50.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara mencuri RM50 duit tabung masjid, seorang lelaki dipenjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini.

Keputusan dibuat selepas tertuduh, Mohd Hafiz Ibrahim, 27, mengaku salah atas pertuduhan mencuri dalam bangunan itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri duit tabung sebanyak RM50 di Masjid Lama Kampung Sungai Rengas, di sini, antara jam 3.37 petang hingga 3.52 petang pada 10 Januari lalu.

Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Puteri Hikmatul Raudah Dzulaikha Mohamad.

Berdasarkan fakta kes, kehadiran tertuduh yang mencurigakan disedari ahli jawatankuasa masjid sebelum mereka membuat pemeriksaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Hasil rakaman menunjukkan tertuduh masuk ke kawasan masjid dengan sebuah motosikal jenis Yamaha 125Z.

Artikel Berkaitan:

Tertuduh dilihat pergi ke tabung masjid yang berada di pintu masuk utama sebelum mengait duit di dalam tabung berkenaan.

Susulan laporan dibuat di Balai Polis Chabang Tiga, tertuduh ditahan di hadapan sebuah stesen minyak di Durian Burung, di sini, kira-kira jam 1 pagi pada 18 Januari lalu.