Gelombang kedua Covid-19: Kluster Beijing cetus tanda tanya

Pekerja kesihatan melakukan ujian swab ke atas seorang wanita di Beijing selepas program ujian besar-besaran dilancarkan. - Foto AFP
Pekerja kesihatan melakukan ujian swab ke atas seorang wanita di Beijing selepas program ujian besar-besaran dilancarkan. - Foto AFP
A
A
A

BEIJING - Situasi gelombang kedua penularan wabak koronavirus (Covid-19) di ibu negara China dilaporkan ‘sangat teruk’.

Perkara itu dimaklumkan pegawai majlis perbandaran hari ini selepas 27 lagi jangkitan baharu direkodkan di Beijing di mana kluster baharu telah mencetuskan program ujian dan jejak individu secara besar-besaran.

Wabak itu dipercayai bermula dari pasar borong daging Xinfadi.

Sejak lima hari lalu, kluster baharu itu telah merekodkan 106 kes dengan 30 komuniti berdepan langkah lockdown selain puluhan ribu penduduk perlu menjalani ujian saringan.

Pihak berkuasa kesihatan di Beijing memberitahu mereka akan menjalankan ujian ke atas pemilik gerai dan pengurus di kesemua premis makanan, restoran dan kantin kerajaan.

Agensi berita Xinhua melaporkan kapasiti ujian telah diperluaskan kepada 90,000 orang sehari.

Pihak berkuasa juga giat mengesan individu dari Beijing yang telah melakukan perjalanan ke wilayah lain malah mereka yang pernah ke bandar itu disaran menjalani saringan.

Sejak 30 Mei lalu, kira-kira 200,000 individu didakwa telah berkunjung ke pasar borong Xinfadi.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, virus tersebut dikesan pada papan pemotong yang digunakan untuk memotong ikan salmon import di Xinfadi.

“Ia tidak jelas sama ada virus itu berasal dari makanan laut yang diimport. Sejak kes baharu muncul secara tiba-tiba di Beijing, kami cuba mengenal pasti punca wabak itu berikutan tiada kes baharu dilaporkan sejak dua bulan lalu.

“Ia mungkin dari luar China atau wilayah lain sebelum dibawa masuk ke sini,” kata Ketua Ahli Epidemiologi, Wu Zunyou menerusi wawancara bersama stesen penyiar CCTV.

Sementara itu, Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan China melaporkan empat kes jangkitan domestik di wilayah Hebei yang mengelilingi Beijing dan satu kes di wilayah Sichuan yang dikaitkan dengan kluster Beijing.

Sebelum kemunculan kluster baharu itu, kebanyakan kes yang dicatatkan ialah kes diimport melibatkan individu yang pulang dari luar negara. - AFP