Kes jangkitan Covid-19 global lepasi angka 8 juta

Kebanyakan sekolah kini telah dibuka semula dan pelajar kembali mengikuti sesi pembelajaran dalam keadaan normal baharu. - Foto AFP
Kebanyakan sekolah kini telah dibuka semula dan pelajar kembali mengikuti sesi pembelajaran dalam keadaan normal baharu. - Foto AFP
A
A
A

NEW YORK - Kes jangkitan koronavirus (Covid-19) global telah melepasi 8 juta dan merekodkan angka kematian lebih 437,000 hari ini selepas kebanyakan negara kini mula melonggarkan sekatan dan menjalani kehidupan normal baharu walaupun masih berdepan ancaman pandemik tersebut.

Ia menyaksikan peningkatan mendadak dan membimbangkan dalam tempoh hampir tiga bulan selepas kes jangkitan mencecah sejuta pada awal April lalu.

Semalam, negara Amerika Latin dan Caribbean merekodkan lebih 80,500 kematian dan separuh daripadanya dicatatkan di Brazil yang merupakan jumlah korban kedua tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat (AS).

Ketika ini, Mexico berada di tangga kedua angka kematian tertinggi di Amerika Latin dengan lebih 17,500 kematian.

Sementara itu, Peru pula merekodkan lebih 6,800 kematian manakala Chile yang menyaksikan lonjakan kes sejak beberapa minggu lalu hingga memaksa tempoh perintah darurat dilanjutkan kepada tiga bulan mencatatkan hampir 180,000 kes jangkitan dan 3,362 kematian.

Selain itu, kes jangkitan juga dilaporkan meningkat di India dan Pakistan yang berdepan kekurangan peralatan perubatan hingga memaksa Islamabad mengenakan semula langkah lockdown di beberapa kawasan sejurus kerajaan persekutuan mengumumkan kes jangkitan di negara itu dijangka meningkat lapan kali ganda mencecah 1.2 juta menjelang akhir Julai depan.

Dalam perkembangan berkaitan, dianggarkan 1.7 bilion atau lebih 20 peratus populasi dunia berisiko dijangkiti Covid-19 akibat masalah kesihatan dialami mereka termasuk obesiti dan penyakit jantung.

Pakar dari London School of Hygiene and Tropical Medicine mendapati satu daripada lima individu yang mempunyai sekurang-kurangnya satu masalah kesihatan meletakkan mereka dalam situasi berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Kajian mereka juga mendapati empat peratus populasi global bersamaan 350 juta penduduk juga akan jatuh sakit dan perlu dirawat di hospital walaupun kebanyakan pesakit Covid-19 kini asimptomatik.

Jelas salah seorang penyelidik, Andrew Clark, penemuan kajian mereka dijangka dapat membantu kerajaan untuk membuat keputusan siapa yang berhak diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksin apabila ia berjaya dihasilkan kelak. - Agensi