Utamakan kestabilan, elak kontroversi

A
A
A

Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia merakamkan ucapan setinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin dan Kerajaan Malaysia kerana mendengar suara hati rakyat yang mempersoalkan pelantikan Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM).

Kenyataan dua perenggan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Komunikasi dan Multimedia semalam menjelaskan bahawa Eric tidak lagi menjadi menjadi Ahli MPKM.

Perkembangan ini jelas melegakan banyak pihak kerana pelantikan Eric yang juga seorang peguam sama sekali mengejutkan kerana latarbelakang kenyataan-kenyataan beliau di media sosial sering kali bersifat ekstrem dan berbau penghinaan.

Antara kenyataan kontroversi beliau adalah dengan menuduh JAKIM mempromosi ekstrisme dalam khutbah Jumaat, memperlekeh hukum Syariah dan menyalahkan madrasah sebagai tempat pembiakan ekstremis agama.

Kenyataan seperti ini sangat mengejutkan dan bercanggah dengan norma Kesopanan dan Kesusilaan serta sensitiviti masyarakat majmuk seperti di Malaysia. Individu seperti Eric ini dilihat kurang manis untuk diangkat sebagai ahli dalam organisasi perundingan bertaraf nasional seperti MPKM.

Tidak dapat dipastikan apakah asas dan rasional di sebalik pelantikan Eric? Jika kepakaran dalam bidang perundangan dan hak asasi manusia menjadi sandaran, penulis berpandangan bahawa terdapat ramai lagi tokoh peguam dan aktivis hak asasi manusia yang sederhana dan berintegriti boleh dipertimbangkan ke jawatan tersebut.

Sikap individu seperti Eric adalah satu contoh klasik kepada kegagalan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam menguruskan kestabilan, kerukunan dan keharmonian negara.

Peka

Artikel Berkaitan:

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu mengambil iktibar daripada kegagalan PH mengurus kestabilan dan kerukunan negara dek kerana membiarkan isu-isu seperti ini boleh menjadi barah kepada perpaduan dan penyatuan dalam kalangan rakyat.

Isu seperti ini juga perlu dielakkan sama sekali untuk berlaku lagi pada masa-masa yang akan datang. Malaysia adalah sebuah negara yang berbagai kaum dan agama di mana keindukkannya dipasak oleh Melayu-Islam-Bumiputera tanpa menafikan hak kaum dan agama yang lain.

Acuan yang sedia ada tidak boleh dirombak hanya atas alasan hak asasi manusia yang tempang. Ketempangan hak asasi manusia yang dipelopori oleh sebilangan golongan di Malaysia adalah disebabkan faktor dan acuan pemahamannya yang berasaskan neraca Barat.

Justeru, ahli politik khususnya para Menteri dalam kerajaan harus peka dengan perkembangan ini. Kestabilan adalah suatu keadaan yang memerlukan pengurusan isu yang cepat dan sangat mahal harganya.

Sekali terjerumus ke dalam kancah ketidakstabilan, maka kegawatan dan kontroversinya akan meleret-leret kepada isu yang lain sehingga keadaan menjadi sukar dikawal lantas menatijahkan satu persepsi yang buruk pada pandangan rakyat seterusnya merosakkan keyakinan rakyat kepada kerajaan hari ini.

Belajar daripada sejarah yang lalu adalah suatu yang dituntut kerana sejarah itu adalah pengalaman dan guru kehidupan. Mimpi ngeri 22 bulan pentadbiran PH adalah satu madrasah pembelajaran yang perlu diambil iktibar. Kepada Allah kita berdoa semoga episod yang buruk ini tidak akan berulang lagi.

* Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki ialah Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia