Pyongyang letupkan pejabat perhubungan antara Korea

Asap tebal memenuhi ruang udara Kompleks Perindustrian Kaesong yang menempatkan pejabat perhubungan antara Korea selepas sebahagiannya diletupkan Pyongyang ketika kejadian hari ini. - Foto AFP
Asap tebal memenuhi ruang udara Kompleks Perindustrian Kaesong yang menempatkan pejabat perhubungan antara Korea selepas sebahagiannya diletupkan Pyongyang ketika kejadian hari ini. - Foto AFP
A
A
A

SEOUL - Ketegangan di Semenanjung Korea semakin memuncak selepas Pyongyang meletupkan sebahagian pejabat perhubungan antara Korea.

Kementerian Penyatuan di Seoul yang mengendalikan hubungan antara kedua-dua negara mengesahkan insiden letupan di Pejabat Perhubungan Kaesong itu berlaku pada jam 2.49 petang (waktu tempatan) hari ini.

Agensi berita Yonhap melaporkan asap tebal turut memenuhi ruang udara di zon perindustrian bersama yang telah ditutup di Kaesong yang menempatkan bangunan pejabat itu.

Terdahulu, tentera Korea Utara menyatakan ia bersiap siaga untuk mengambil tindakan ke atas Seoul di bawah perang retorik terbaharu selepas hubungan kedua-dua negara menjadi keruh.

Ketua Umum Tentera Rakyat Korea (KPA) memaklumkan hubungan antara Korea semakin teruk dan mereka telah mengkaji pelan tindakan termasuk menempatkan semula anggota di zon bebas tentera di bawah perjanjian damai yang dicapai sebelum ini.

Difahamkan, ia dibuka beberapa hari sebelum Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkunjung ke Pyongyang untuk sidang kemuncak ketika bersama pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un pada September 2018.

Insiden itu berlaku selepas Kim Yo Jong yang merupakan adik kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un mengancam untuk melancarkan tindakan ketenteraan selepas konflik semakin meningkat akibat tindakan aktivis mengedarkan risalah anti-Pyongyang di sempadan.

Minggu lalu, Korea Utara turut memutuskan kesemua hubungan rasmi dengan Seoul yang dipercayai sebagai cubaan untuk memberi tekanan berikutan rundingan nuklear bersama Amerika Syarikat (AS) tertangguh hingga kini. - AFP

Artikel Berkaitan: