Sumbangan RM2 juta ikhlas, bukan permintaan Zahid: Saksi

Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir bagi sambung bicara kes pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Bernama
Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika hadir bagi sambung bicara kes pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengarah urusan Seri Jaya Perkasa Sdn Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa sumbangannya berjumlah RM2 juta kepada Sekolah Imtiaz Ulul Albab, Masjid Tanah, Melaka milik Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi adalah ikhlas bukan atas permintaan bekas timbalan perdana menteri itu.

Mubarak Hussain Akhtar Husin, 44, saksi pendakwaan ke-62, berkata demikian, ketika disoal balas peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal, mewakili Ahmad Zahid, yang bertanyakan adakah sumbangan itu diminta oleh anak guamnya.

Ditanya peguam itu sama ada beliau tahu sekolah tahfiz itu dibiayai oleh Ahmad Zahid dan Yayasan Akalbudi, saksi itu berkata “tahu”.

Beliau juga bersetuju dengan cadangan seorang lagi peguam Hamidi Mohd Noh bahawa, sumbangan RM2 juta yang diberikan menerusi cek atas nama Tetuan Lewis & Co, pemegang amanah Yayasan Akalbudi milik Ahmad Zahid, adalah sumbangan peribadinya, dan tiada isu ia daripada sumber yang tidak sepatutnya serta tiada kaitan dengan projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ditanya Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazilee Abdul Khairi semasa pemeriksaan semula, adakah beliau pasti Lewis & Co adalah pemegang amanah Yayasan Akalbudi, Mubarak Hussain menjawab “saya pasti”.

Terdahulu, Mubarak Hussain yang merupakan rakan baik kepada Ahmad Zahid sejak 2008, turut mengesahkan cek berjumlah RM2 juta yang diperoleh daripada hasil perniagaannya, telah diterima oleh Lewis & Co pada 25 November 2016.

“Saya juga sahkan cek ini telah dimasukkan ke dalam akaun Lewis & Co oleh pekerja saya di Maybank Islamic Berhad, Jalan Tun H.S Lee. Saya sahkan tandatangan pada cek ini adalah tandatangan saya sendiri dan tulisan tangan pada bahagian cek ini, adalah tulisan pekerja saya.

“Cek itu diberikan kepada Lewis & Co adalah untuk sumbangan ikhlas bagi sekolah Tahfiz Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Sekolah Imtiaz Ulul Albab). Saya hanya memberikan sumbangan ini bagi tujuan menampung kos bulanan sekolah tahfiz tersebut,” katanya ketika membaca penyataan saksi semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Harris Ong Mohd Jeffry Ong.

Artikel Berkaitan:

Selain itu Mubarak Hussain berkata, beliau membeli Syarikat Seri Jaya Perkasa Sdn Bhd pada 2002 daripada seorang lelaki dikenali sebagai ‘Abdul Syukur’, kerana melihat syarikat berkenaan mempunyai kontrak dengan KDN bernilai RM20.5 juta selama dua tahun dan akan disambung jika dipersetujui serta masih diperlukan oleh pihak kementerian itu.

“Kontrak ini adalah kontrak imigresen di mana ia menjalankan kontrak penghantaran pulang pendatang asing tanpa izin,” katanya.

Kepada soalan tambahan Harris Ong, siapa yang mengarahkannya menulis Lewis & Co pada ruangan penerima cek, Mubarak Hussain menjawab “Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi”.

Harris Ong: Mengapa Encik Mubarak guna cek peribadi untuk beri sumbangan?

Muabarak Hussain: Sebab saya sendiri ingin memberi sumbangan itu...Saya pernah pergi sekolah tahfiz ini sebanyak dua kali, sekolah ini boleh memuatkan kapasiti lebih 200 pelajar.

Sebelum itu, tiga saksi pendakwaan yang kesemuanya ahli perniagaan yang memberi keterangan hari ini memberitahu mahkamah, bahawa mereka mendekati seorang lelaki bernama Omar Ali Abdullah untuk 'menyelesaikan' masalah kewangan mereka, dengan syarat, mereka mesti mengeluarkan cek kosong di bahagian penama.

Mereka mendakwa Omar Ali dapat memberikan wang tunai bernilai ratusan ribu dan menyelesaikan masalah bagi syarikat. Omar Ali ada dilihat di mahkamah semasa prosiding, kerana pihak pendakwaan memerlukan saksi untuk membuat pengecaman semasa perbicaraan.

Dalam pertuduhan pengubahan wang haram yang ke-27, Ahmad Zahid didakwa telah mengarahkan Omar Ali untuk mengubah bagi pihak dirinya wang tunai berjumlah RM6,885,300.20, kepada 30 keping cek yang kemudiannya telah diserahkan kepada Tetuan Lewis & Co, untuk tujuan pembelian Simpanan Tetap di Maybank yang mana ia merupakan hasil aktiviti haram.

Ahmad Zahid berhadapan dengan 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah (CBT) melibatkan dana Yayasan Akalbudi, lapan tuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama