Tunggu kebenaran MKN untuk buka pawagam

Kon Yeow (dua dari kanan) ketika meninjau sudut siber yang disediakan di Menara MBSP bagi memudahkan orang ramai berurusan melalui sistem dalam talian.
Kon Yeow (dua dari kanan) ketika meninjau sudut siber yang disediakan di Menara MBSP bagi memudahkan orang ramai berurusan melalui sistem dalam talian.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Hasrat penduduk negeri ini yang mahu kembali menonton filem di pawagam akan dibawa kepada perhatian Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk pertimbangan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri tidak boleh membuat keputusan untuk membenarkan aktiviti itu dibuka semula melainkan ia diputuskan di peringkat Persekutuan melalui kebenaran MKN.

Menurutnya, kerajaan negeri hanya akan mengikut segala keputusan yang diputuskan MKN bagi bersama dalam usaha memutuskan rantaian wabak koronavirus (Covid-19).

“Sejak kebelakangan ini kita ada dengar suara daripada rakyat yang mahu panggung wayang dibuka semula.

“Apa yang kita boleh lakukan hanya menjadi saluran untuk rakyat dalam menyampaikan perkara ini kepada jawatankuasa MKN negeri untuk dibawa ke peringkat MKN pusat bagi mempertimbangkan cadangan ini seterusnya mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Terdahulu, Kon Yeow mengadakan lawatan kerja bagi meninjau normal baharu di Menara Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di sini hari ini.

Setakat ini, pawagam masih tidak dibenarkan beroperasi walaupun hampir semua sektor ekonomi sudah dibuka ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sejak 10 Jun lalu.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Kon Yeow berkata, pertubuhan rumah ibadat bukan Islam diminta mematuhi SOP yang ditetapkan selepas ia dibenarkan menjalankan aktiviti keagamaan.

Artikel Berkaitan:

“Menteri Kanan Keselamatan sebelum ini memberikan kebenaran untuk semua rumah ibadat termasuk rumah ibadat bukan Islam beroperasi mengikut SOP.

“Kita berharap jawatankuasa pertubuhan rumah ibadat menitik beratkan semua aspek pematuhan termasuk menghadkan jumlah orang yang datang dengan mengambil kira ruang keluasan supaya tidak berlaku kesesakan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pematuhan kedai gunting rambut, Kon Yeow berkata, tahap pematuhan di bahagian Pulau adalah 100 peratus.

“Bagaimanapun, di kawasan Seberang Perai pula mencatatkan pematuhan 85 peratus, namun ia masih lagi baik memandangkan pada hari pertama hanya sekitar 15 peratus.

“Kita berharap pengusaha kedai dandanan dan gunting rambut dapat terus menambah baik SOP untuk kebaikan sendiri serta menjaga keselamatan semua,” katanya.