Warga asing cederakan isteri dijel, sebat

Gambar Hiasan
Gambar Hiasan
A
A
A

TAWAU - Seorang penganggur yang juga warga asing dihukum penjara 26 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan termasuk mencederakan isterinya pada awal bulan ini.

Ahmad Rashid, 40, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (khianat dengan api) dan dijatuhi hukuman penjara 14 bulan berkuat kuasa hari ini, kerana membakar barang-barang peribadi termasuk pakaian milik isterinya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 dan diperintahkan menjalani hukuman empat bulan penjara secara serentak dengan hukuman kesalahan pertama serta dua kali sebatan.

Dalam pertuduhan ketiga, Ahmad didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama dengan Seksyen 326A kanun sama iaitu mencederakan isterinya susulan itu mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara 12 bulan selepas selesai hukuman kesalahan pertama.

Dia didakwa melakukan semua kesalahan itu di dalam bilik sebuah kedai runcit di Ladang Prihatin, Kalabakan di sini pada jam 7 malam, 1 Jun lepas akibat gagal mengawal kemarahan selepas mengesyaki isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Dalam pada itu, Amir Shah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen untuk tindakan pengusiran sebaik selesai menjalani semua hukuman.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didakwa mencederakan Mary Jane Legaspi Dionislo, 43, dengan menumbuk dan menendang pada bahagian kepala dan muka sehingga menyebabkan bengkak dan lebam di seluruh badan mangsa.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, Asisten Superintendan Dg Nur Azarinawaty Ag Kachee sementara tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama