Agenda putuskan Bersatu sertai Muafakat Nasional mungkin ada: MT UMNO

Mohd Razlan dan Dr Fathul Bari
Mohd Razlan dan Dr Fathul Bari
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO tidak menolak kemungkinan agenda penyertaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ke dalam Muafakat Nasional bakal dibincangkan dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi parti itu di bangunan Putra World Trade Centre (PWTC), Kuala Lumpur malam ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii bagaimanapun, menegaskan pihaknya tidak pasti sama ada kesemua kepimpinan tertinggi parti itu akan bersetuju keputusan itu kerana mereka belum dimaklumkan mengenai agenda rasmi mesyuarat malam ini.

Menurutnya, perkara paling penting perlu difahami adalah agenda penyatuan Melayu perlu dijadikan asas utama perbincangan dengan semua parti berasaskan kaum itu perlu duduk di bawah satu bumbung untuk memikirkan hala tuju kepimpinan negara pada masa hadapan.

"Kita tidak tahu apa yang hendak dibincangkan sebagai agenda mesyuarat (malam ini). (Perbincangan Bersatu menyertai Muafakat Nasional) macam ada, tetapi keputusan macam mana tidak pasti.

"Apa yang kita percaya kerajaan hari ini disukai rakyat, perkara itu perlu dipertahankan. Orang Melayu sudah lama mahu agenda penyatuan kaum dilaksanakan, jadi perlu kekal apa yang ada sekarang.

"Cuma berkenaan struktur kepimpinan pakatan (Tan Sri Muhyiddin Yassin jadi Pengerusi Muafakat Nasional), saya tidak ada kepastian. Mungkin boleh tahu jika ada sidang media selepas mesyuarat," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Hari ini, bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam mendakwa satu mesyuarat MT UMNO didakwa akan diadakan pada malam ini bagi memutuskan cadangan menerima Bersatu menyertai Muafakat Nasional dalam masa terdekat.

Lokman yang dipecat UMNO awal tahun ini turut menjangkakan mesyuarat itu bakal mempertimbangkan kemungkinan melantik Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi Muafakat Nasional sekali gus mengangkat Presiden Bersatu itu untuk kembali menjadi Perdana Menteri pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Razlan turut menegaskan apa sahaja hala tuju kerajaan Perikatan Nasional dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang akan diputuskan kelak adalah demi kepentingan rakyat secara keseluruhan.

Menurutnya, meskipun Perikatan Nasional lebih dianggap sebagai nama bagi kerajaan terbentuk hari ini, parti-parti dalam perikatan politik itu perlu mendukung satu kerjasama persefahaman bersama dalam membawa hala tuju kerajaan itu.

"Jika kita kata pembentukan kerajaan Perikatan Nasional demi kepentingan rakyat, kita tidak boleh mengenepikan parti-parti yang membentuknya kerana kerajaan PN datang dari empat parti iaitu BN, Pas, Bersatu dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

"Kita tidak boleh mengulangi taktik kerjasama longgar seperti Pakatan Harapan (PH) kerana hala tuju parti-parti dalam pakatan itu akan berbeza-beza. Rakyat pasti akan menghukum kita pula," katanya.

Sementara itu, seorang lagi Ahli MT UMNO, Datuk Dr Fathulbari Mat Jahaya menegaskan spekulasi penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional perlu dilihat dari konteks perpaduan ummah, keperluan memiliki majoriti kerusi ahli Parlimen dan siapa Perdana Menteri dilantik.

Menurutnya, kerjasama antara parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional perlu diputuskan kepimpinan parti masing-masing di meja rundingan, bukan atas kenyataan pemimpin tertentu dalam parti.

"Saya menyedari ada pihak mainkan isu kerjasama antara parti-parti dalam Perikatan Nasional dan nasihat saya, semua pemimpin perlu konsisten mengikut keputusan kepimpinan masing-masing.

"Tidak perlu mengeluarkan kenyataan mendabik dada kononnya parti lain perlu berkorban untuk parti mereka kerana desakan sebegitu adalah tidak wajar," katanya.

Kenyataan Fathulbari dipercayai merujuk kenyataan ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang menegaskan UMNO perlu banyak berkorban sekiranya ia mahu gabungan politik Perikatan Nasional diteruskan dengan lebih serius sebelum ini.

Menurut Wan Saiful, di dalam Perikatan Nasional, UMNO akan hilang status dominan yang dimilikinya sewaktu BN mentadbir negara dan keadaan itu tidak dinafikan akan menimbulkan kerisauan dalam kalangan pemimpin parti itu.