Buang kepala khinzir dalam sungai

Penduduk menunjukkan kepala khinzir yang dibuang ke dalam sungai.
Penduduk menunjukkan kepala khinzir yang dibuang ke dalam sungai.
A
A
A

PENDANG - Air sungai di Kampung Bukit Pok Pom mukim Rambai semakin tercemar apabila terdapat individu yang tidak bertanggungjawab membuang kepala khinzir ke dalam sungai berkenaan.

Penduduk, Nordin Mehat, 45, berkata, masalah ini berlaku sejak beberapa tahun lalu sehingga mengganggu rutin kehidupan harian mereka.

No Image Caption

Menurutnya, mereka juga pernah membuat laporan polis berkaitan masalah ini beberapa tahun lalu.

"Rutin berkenaan berhenti seketika, namun begitu, selepas dua tiga hari, individu berkenaan kembali aktif membuang kepala khinzir ke dalam sungai," katanya ketika ditemui berhampiran sungai berkenaan.

Mengakui masalah sama, Ismail Husin berkata, masalah menjadi serius kerana sungai berkenaan menjadi lokasi penduduk memancing.

"Hasil daripada sungai tersebut banyak membantu penduduk tempatan yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan hasil ikan," katanya.

Ismail berkata, sumber air sungai berkenaan juga turut digunakan penduduk untuk tanaman padi mereka.

Artikel Berkaitan:

"Boleh dikatakan keseluruhan petani di kawasan ini menggunakan sumber air daripada sungai berkenaan," katanya.

Penduduk, Kassim Khamis berkata, keadaan ini perlu dipandang serius kerana ia melibatkan sensitiviti masyarakat Melayu Islam.

"Hidup dalam masyarakat ini seharusnya perlu mengamalkan sifat toleransi dalam diri masing-masing," katanya.

"Kassim berkata, dia dan penduduk yang lain sangat berharap pihak berwajib datang ke kampung mereka untuk melihat sendiri keadaan ini.

"Mai la tengok sendiri keadaan di dalam sungai dengan busuknya yang sangat teruk," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Daerah Pendang, Zaid Ahmad berkata, pihaknya tidak pernah menerima sebarang laporan berkaitan masalah ini.

"Kita minta penduduk tampil untuk membuat laporan dan kita akan lakukan siasatan yang lebih terperinci bagi mengatasi masalah ini," katanya.

Tambah Zaid, masalah ini sangat serius dan ia perlu diselesaikan dengan kadar segera.