Pengecualian duti lonjak jualan eksport sawit

Mohd Khairuddin (dua dari kanan) menyerahkan dokumen berkaitan projek kenaf kepada Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang media bersempena lawatan kerja dan pertemuan di Wisma Darul Aman hari ini.
Mohd Khairuddin (dua dari kanan) menyerahkan dokumen berkaitan projek kenaf kepada Muhammad Sanusi (tengah) pada sidang media bersempena lawatan kerja dan pertemuan di Wisma Darul Aman hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas industri berasaskan minyak sawit yang diperkenalkan kerajaan melonjakkan jualan eksport bahan mentah tersebut pada tempoh pasca Covid-19.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, minyak sawit mendapat permintaan tinggi beberapa negara pengguna utama seperti India.

Menurutnya, Turki merupakan negara terbaharu yang menjadi pengimport minyak sawit negara yang turut menyaksikan harga bahan mentah itu terus meningkat kepada kira-kira RM2,400 setan.

"Tindakan kerajaan memperkenalkan pengecualian 100 peratus duti eksport ke atas industri berasaskan minyak sawit selama enam bulan bermula Jun sehingga Disember tahun ini dilihat mempengaruhi lonjakan jualan itu.

"Kita lihat bekalan bahan mentah mendapat permintaan tinggi selepas pasca Covid-19 khususnya dari India, China dan Timur Tengah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena lawatan kerja dan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Khairuddin berkata, Turki bukan sahaja mahukan minyak sawit mentah (MSM) atau Crude Palm Oil (CPO), malah mereka juga sedang memperhalusi produk Malaysia di pasaran.

Beliau berkata, pihaknya turut mengadakan perbincangan terperinci dengan India berhubung pasaran minyak sawit Malaysia ke negara itu.

Artikel Berkaitan:

"Meskipun, bekalan CPO kini menunjukkan hanya satu juta tan berbanding lebih dua juta tan sebelum ini, namun ia mencukupi untuk tampung permintaan dari luar negara," katanya.

Katanya, disebabkan itu, pihaknya menggalakkan lebih ramai anak muda terlibat dalam estet sawit kerana masih banyak sawit yang belum sempat dituai.

"Keluaran minyak sawit akan lebih banyak jikalau lebih banyak tuaian dibuat dan diharapkan bekalan bertambah tahun ini berbanding 20 juta tan sebelum ini," katanya.