Ambrin tidak ditekan untuk pinda Laporan Audit 1MDB

Najib (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan berhubung kes pindaan Laporan Pengauditan 1MDB hari ini.
Najib (dua dari kiri) hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi perbicaraan berhubung kes pindaan Laporan Pengauditan 1MDB hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa memaklumkan kepada Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang tidak ditekan untuk meminda Laporan Pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Ali berkata, tiada ugutan mahupun tekanan diberi kepada Ambrin oleh mana-mana pihak sama ada daripada dirinya sendiri mahupun bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Arul Kanda Kandasamy.

Ali berkata, suasana ketika Mesyuarat Penyelarasan Laporan Audit 1MDB pada 24 Februari 2016 melibatkan Jabatan Audit Negara (JAN), Jabatan Peguam Negara dan 1MDB berlangsung dalam keadaan biasa.

Menjawab soalan Muhammad Shafee yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ali berkata, antara perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat itu ialah permintaan agar JAN mengeluarkan kenyataan bahawa 1MDB mempunyai dua laporan penyata kewangan bagi tahun yang sama.

Muhammad Shafee: Tan Sri pernah beri tekanan kepada Ambrin untuk pinda laporan audit 1MDB?

Ali: Tidak.

Muhammad Shafee: Sila rujuk kenyataan saksi yang Tan Sri sediakan sebelum ini, Tan Sri ada tulis Arul Kanda ‘mendesak’ JAN dalam kandungan laporan audit itu. Apa maksud Tan Sri, mendesak. Adakah ia desakan hingga beri tekanan?

Ali: Tidak. Maksud saya mendesak itu, jika boleh digantikan dengan perkataan meminta. Arul Kanda minta secara lemah lembut, ikutkan suara Arul Kanda, saya rasa maksud mendesak itu adalah dengan cara baik.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Shafee: Bagaimana dengan reaksi Ambrin selepas mesyuarat selesai?

Ali: Macam biasa sahaja. Ketika mesyuarat juga semua pihak yang hadir tidak berasa tertekan, ada gelak tawa.

Dalam perbicaraan sebelum ini, Pengarah Audit (Sektor Tadbir Urus) JAN, Nor Salwani Muhammad mendakwa Ambrin kelihatan sedih dan rasa tercabar ketika menyampaikan arahan kepada pasukan audit untuk menggugur dan menukar beberapa perkara yang terkandung dalam draf Laporan Pengauditan 1MDB.

Pada 12 Disember 2018, Najib didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa, dalam kapasitinya sebagai Perdana menteri ketika itu menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 dan 26 Februari 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bekas CEO 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB, di tempat dan masa yang sama, mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah.

Setakat ini, tujuh saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan termasuk bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang dan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan disambung esok.