Pemaju digesa selesaikan isu lambakan hartanah

Zuraida
Zuraida
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pemaju hartanah di negara ini digesa menyelesaikan isu lambakan hartanah, khususnya kategori mewah, memandangkan lebih 80 peratus unit tidak didiami disumbangkan oleh pembangunan premium.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin juga menggesa pemaju menumpukan pada pembangunan perumahan mampu milik berharga RM500,000 ke bawah sekiranya ada projek baharu.

“Kita tumpukan pada projek mampu milik kerana kita perlukan perumahan sedemikian. Ini tidak bermakna kita halang mereka daripada membangunkan projek premium, cuma nasihat kita (tumpukan pada projek mampu milik),” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu beliau melancarkan Grand Maris Suite, bangunan pejabat kecil pejabat rumah (SoHo) 33 tingkat serta penyerahan cek untuk premium tanah bagi projek Perumahan Transit Belia di Rawang.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, kementerian bercadang berbincang dengan semua kerajaan negeri bagi menyemak semula syarat serta harga jualan hartanah melibatkan warga asing bagi menyelesaikan isu lambakan hartanah, sekali gus membantu memulihkan ekonomi negeri dan persekutuan.

Ditanya mengenai kadar pembelian rumah tahun lepas, beliau berkata, projek di bawah kementerian terjual hampir 100 peratus memandangkan mereka mempunyai pembeli yang disasarkan seperti penjawat awam.

“Bagaimanapun bagi sektor swasta mungkin ada sedikit masalah dengan sesetengah (pemaju) terpaksa mengecilkan saiz projek dan yang lain pula menukar projek.

“Disebabkan pandemik Covid-19 ini kita agak fleksibel dan membenarkan sesetengah projek ditukar daripada komersil kepada SoHo selain mengizinkan mereka mengubah suai reka bentuk dan unit bagi memenuhi keperluan industri,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: