Hab coklat bakal diwujudkan di Langkawi

Dr Mohd Khairuddin (kiri) dan Muhammad Sanusi pada sidang akhbar sempena lawatan kerja dan pertemuan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Dr Mohd Khairuddin (kiri) dan Muhammad Sanusi pada sidang akhbar sempena lawatan kerja dan pertemuan di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) akan mewujudkan hab usahawan coklat di Langkawi sebagai produk pelancongan terbaharu di Kedah.

Menterinya, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, pada peringkat awal, seramai 20 usahawan baharu disasarkan menyertai projek oleh Lembaga Koko Malaysia itu.

Beliau berkata, pemberian geran sebanyak RM1.5 juta disediakan kepada usahawan coklat untuk pembangunan hab usahawan coklat di Langkawi tersebut.

"Malaysia adalah pembekal utama koko yang dikisar di Asia manakala kelima di seluruh dunia. Jadi, kita mengambil peluang dengan membangunkan hab coklat di kawasan Langkawi.

"Untuk peringkat awal, kita menyediakan geran sebanyak RM3,000 dalam bentuk mesin dan seumpamanya untuk setiap usahawan berminat menyertai hab usahawan Langkawi itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja dan pertemuan dengan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor Dr Mohd Khairuddin di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

"Buat masa ini, kita buka permohonan geran kepada 20 peserta dan mengalu-alukan penyertaan usahawan coklat kerana masih belum ada peserta. Jikalau ramai berminat, maka kita akan sediakan lebih banyak geran berkaitan," katanya.

Menurutnya, sebuah tapak di Langkawi akan dipilih untuk membangunkan projek terbabit dengan mengumpulkan usahawan berkaitan untuk menghasilkan dan memasarkan coklat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, cadangan terbabit akan menjadikan Langkawi sebagai antara hab coklat terbaharu negara selepas projek sama dibangunkan di beberapa negeri seperti Terengganu sebelum ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mohd Khairuddin berkata, kementerian turut mencadangkan tiga projek utama iaitu pembangunan ladang komuniti getah, pembangunan ladang buluh di kawasan terosot, peluasan ladang nukleus bagi pengeluaran biji benih kenaf dan projek pembangunan ladang komuniti demi membangunkan industri komoditi di Kedah.

Menurut beliau, setiap peserta projek dijangka mampu memperoleh pendapatan sehingga hampir RM2,000 sebulan melalui projek pembangunan ladang komuniti getah.

"Bagi pembangunan ladang buluh, kita menjangkakan pendapatan bersih sebanyak RM14,000 setiap hektar yang melibatkan kawasan seluas 500 hingga 1,000 hektar," katanya.

Menurutnya, peluasan kawasan ladang nukleus bagi pengeluaran biji benih kenaf dengan tambahan sehingga 300 hektar pula dianggarkan dapat menghasilkan 90,000 kilogram (kg) biji benih tambahan kepada keperluan biji benih kenaf negara.

Sementara itu, Muhammad Sanusi berkata, ketiga-tiga projek berkenaan akan memberi manfaat kepada penduduk tempatan menjana tempatan dan peluang pekerjaan.

"Sebagai pembangunan ladang nukleus bagi biji benih kenaf yang sedang dilaksanakan di Kedah yang dicadangkan diperluaskan kawasan dijangka mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan menjana pendapatan kepada 470 penduduk tempatan.

"Bagi pihak kerajaan negeri, saya menyambut baik cadangan tersebut dan bersedia memberikan kerjasama untuk kepentingan ekonomi dan rakyat khususnya," katanya.