Geng Yusri Ken Rimba, Cepet tumpas!

Baharudin (tengah) menunjukkan antara motosikal yang dirampas susulan tumpasnya dua geng curi motosikal, baru-baru ini.
Baharudin (tengah) menunjukkan antara motosikal yang dirampas susulan tumpasnya dua geng curi motosikal, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis menumpaskan dua kumpulan curi motosikal iaitu Geng Yusri Ken Rimba dan Geng Cepet dalam operasi Ops Lejang Khas di sekitar Kampung Delek Klang, Bandar Baru Selayang dan Seksyen 16 di sini bermula 5 Jun sehingga hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, serbuan ini berjaya menahan sembilan lelaki berusia 15 sehingga 35 tahun.

"Lima suspek ditahan membabitkan Geng Cepet manakala selebihnya adalah Geng Yusri Ken Rimba.

"Semakan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes curi motosikal dan dadah. Salah seorang suspek berusia 21 tahun didapati masih berstatus dikehendaki," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Baharudin (tengah) menunjukkan antara rangka motosikal yang dirampas susulan tumpasnya dua geng curi motosikal, baru-baru ini.
Baharudin (tengah) menunjukkan antara rangka motosikal yang dirampas susulan tumpasnya dua geng curi motosikal, baru-baru ini.

Beliau berkata, dengan tumpasnya geng ini, sebanyak empat buah motosikal, enam rangka motosikal serta komponen yang dileraikan dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000.

Tambahnya, geng yang dipercayai aktif sejak tahun lalu itu melakukan curi motosikal dengan menunda motosikal yang dicuri di sekitar parkir awam, apartmen, dan flat di sekitar Shah Alam.

"Motosikal curi ini untuk kegunaan sendiri dan bagi mendapatkan alat ganti. Kes disiasat di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, menerusi Ops Lejang Khas Bersepadu di Shah Alam bermula 30 Mei sehingga 14 Jun, seramai 49 individu ditahan termasuk dua lelaki warga asing atas pelbagai kesalahan.

Katanya, dalam operasi yang dijalankan dengan bantuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ini telah menjalankan pemeriksaan ke atas seramai 5,108 orang, 4,427 kenderaan dan 307 premis selain 199 saman dikeluarkan.