Perak benar solat Jumaat, fardu ikut kapasiti masjid

Kebenaran itu mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter antara ahli jemaah.
Kebenaran itu mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter antara ahli jemaah.
A
A
A

IPOH - Bermula 19 Jun ini, pelaksanaan solat Jumaat dan fardu berjemaah di masjid, surau diri Jumaat dan surau di Perak dibenarkan mengikut had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat.

Ketua Pegawai Eksekutif, Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk), Shahrul Azam Shaari berkata, ia selaras dengan perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah menimbangkan sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak dan merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menurutnya, kebenaran itu mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang menetapkan jarak satu meter antara ahli jemaah.

"Kehadiran menunaikan solat Jumaat dan fardu pada masa ini hanya dibenarkan kepada warganegara Malaysia.

"Identiti para jemaah yang datang untuk bersolat hendaklah disemak dan direkodkan sebelum dibenarkan masuk ke ruang solat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, selari dengan penambahan jemaah itu, azan yang dilaungkan oleh bilal hendaklah kembali kepada kaedah asal dan tidak perlu lagi melafazkan ayat 'al-Salatu fi buyutikum' (tunaikanlah solat di rumah kamu).

Katanya, tatacara jemaah masuk dan keluar dari ruang utama dewan solat di masjid, surau diri Jumaat dan surau hendaklah diasingkan antara pintu masuk dan pintu keluar.

"Ahli Jawatankuasa Kariah atau Pegawai Masjid hendaklah memberikan peringatan dan penerangan ringkas kepada jemaah untuk mematuhi garis panduan sebelum solat Jumaat dan solat berjemaah pada setiap solat fardu dimulakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shahrul Azam berkata, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini penambahan bilangan jemaah itu dan selanjutnya menyelia dan memastikan garis panduan tersebut dipatuhi.

"Arahan dan ketetapan ini hendaklah terpakai dan berkuat kuasa serta-merta sehingga dikeluarkan apa-apa arahan baharu daripada MAIPk," katanya.

Pada 12 Jun lalu, semua masjid dan surau di Perak dibenarkan hanya menerima jemaah seramai 40 orang bagi solat fardu dan solat Jumaat.