Bekas polis didakwa menipu RM5,000

Mohd Izaimie (kiri) dan Boon Foo (kanan) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kuantan di sini.
Mohd Izaimie (kiri) dan Boon Foo (kanan) dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kuantan di sini.
A
A
A

KUANTAN - Seorang bekas anggota polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menipu membabitkan wang tunai berjumlah RM5,000 dua tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Mohd Izaimie Ismail, 35, didakwa menipu Eng Boon Koong, 41, bagi membersihkan nama lelaki itu yang kononnya dikehendaki dalam satu kes berkaitan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sehingga mendorongnya memberikan suapan sebanyak RM3,000.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan rumah di Bukit Sotongkol di sini, kira-kira jam 8 malam pada 4 Ogos 2018.

Bagi pertuduhan kedua, Mohd Izaimie didakwa secara bersama dengan seorang anggota polis, Chong Boon Fu, 27, menipu mangsa sama dengan memperdayakannya untuk percaya bahawa mangsa dikehendaki polis kerana melanggar syarat orang kena pengawasan sedangkan nama mangsa tidak wujud dalam senarai tersebut.

Perbuatan mereka itu didakwa telah mendorong Boon Koong menyerahkan RM2,000 untuk membantu membersihkan namanya di lokasi sama sekitar Ogos tahun yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Kamariah Seman di hadapan Hakim Mohd Ghazali Mohd Taib di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Pada prosiding hari ini, peguam, Mohd Al Hizam Ikram Ibrahim yang mewakili kedua-duanya memohon hakim menurunkan tawaran ikat jamin daripada RM10,000 kepada RM5,000 seorang.

Artikel Berkaitan:

Mohd Ghazali membenarkan permohonan tersebut dengan seorang penjamin dan memerintahkan kedua-dua tertuduh melapor diri di balai polis setiap bulan selama kes berjalan.

Sebutan semula ditetapkan pada 16 Julai depan.