X

Kindly register in order to view this article
!

Saya tidak akan khianat mandat rakyat: Gunaraj

ADUN Sentosa, G Gunaraj
A
A

KLANG - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sentosa, G Gunaraj menafikan terlibat dengan beberapa pimpinan Pakatan Harapan (PH) Selangor yang didakwa menyokong pembentukan kerajaan Selangor di bawah Perikatan Nasional.

Menurutnya, beliau kekal bersama PH di negeri ini dan akan sentiasa komitmen dengan PH tanpa mengkhianati mandat yang telah diberikan rakyat.

Gunaraj berkata, beliau juga menolak segala bentuk fitnah yang mengaitkan dirinya.

"Sebaran fitnah murahan ini tidak sedikit pun akan menjejaskan usaha dan komitmen PH untuk menyelamatkan negara daripada bencana politik Perikatan Nasional.

"Saya berdiri teguh dan menyatakan sokongan penuh terhadap kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PKR (Parti Keadilan Rakyat) dan Datuk Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, beliau juga akan kekal setia bersama PKR.

"Saya juga berikrar akan terus kekal setia bersama PKR bagi meneruskan mandat rakyat di Sentosa dan akan terus berkhidmat sehingga menjelang PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) akan datang.

"Saya juga mengharapkan rakyat dapat terus bersama PH dan meneruskan cita-cita membentuk Malaysia Baharu," katanya.

Terdahulu tular di media sosial yang mendakwa ADUN Sentosa itu akan menyokong pembentukan kerajaan negeri yang baharu di bawah Perikatan Nasional baru-baru ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!