Sedia rumah, ganja untuk parti liar

Baharudin
Baharudin
A
A
A

SHAH ALAM - Polis mengesan taktik individu yang menawarkan sewa kediaman serta ganja untuk menganjurkan parti liar di sebuah sebuah rumah di Seksyen 7 pada 7 Jun lalu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, dalam serbuan terbabit, seramai lapan individu termasuk dua wanita berusia lingkungan 24 hingga 31 tahun telah diberkas ketika sedang berparti.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut kemudian menemui satu ketulan mampat daun kering disyaki ganja bernilai RM1,500.

"Selain itu, ujian air kencing juga mendapati enam suspek positif ganja.

"Siasatan awal polis percaya, kegiatan yang didalangi suspek berusia 31 tahun itu aktif sejak beberapa bulan lalu. Suspek dipercayai menyewakan kediaman terbabit kepada kenalannya untuk tujuan parti liar termasuk menyediakan ganja serta minuman," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Dalam kes berlainan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) IPD Shah Alam menahan seorang lelaki berusia 37 tahun kerana disyaki aktif mengedar di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Seksyen 26.

Lelaki yang dipercayai melakukan aktiviti itu sejak enam bulan itu ditahan di kawasan parkir kelmarin.

Katanya, pemeriksaan ke atas suspek menemui satu kotak rokok berisi 10 paket kecil heroin seberat 16 gram.

Artikel Berkaitan:

"Kita percaya suspek yang didapati positif syabu ini lalu dengan harga RM50 sepeket.

"Suspek kini direman tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.