Rasuah polis, penganggur dipenjara 24 bulan, denda

Muhammad Saidi (kiri) diiringi pegawai SPRM sewaktu hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.
Muhammad Saidi (kiri) diiringi pegawai SPRM sewaktu hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU- Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 24 bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memberi suapan RM500 kepada seorang anggota polis.

Bukan itu sahaja, tertuduh, Muhammad Saidi Mat Lawi, 44, turut berdepan hukuman penjara 10 bulan lagi sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh sebelum itu mengaku bersalah di hadapan Hakim Jamaludin Mat sebaik sahaja pertuduhan pengikut Seksyen 17(b) ASPRM 2009 dibacakan terhadapnya.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa memberi suapan wang tunai RM500 kepada seorang anggota polis yang bertugas di Balai Polis Air Putih, Kemaman.

Perbuatan itu dilakukan pada 17 Mei lalu, kira-kira jam 3.30 petang di Plaza Tol Cheneh, Kemaman sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan terhadapnya kerana disyaki memiliki dadah yang merupakan kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tertuduh telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 17(b) ASPRM 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan: